Semua 11 Ahli Parlimen Amanah sokong Anwar - Utusan Malaysia

Semua 11 Ahli Parlimen Amanah sokong Anwar

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMUA 11 Ahli Parlimen Amanah menyokong sepenuhnya kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan memberi kepercayaan kepadanya untuk membentuk kerajaan baharu.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, mereka mengambil maklum pengumuman yang di buat oleh Anwar yang mendakwa memperolehi sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

“Seperti yang telah diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini, Parti Amanah mengesahkan bahawa semua 11 orang Ahli Parlimen Parti Amanah Negara menyokong sepenuhnya kepimpinan Datuk Seri Anwar sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan memberi kan kepercayaan kepada beliau untuk membentuk kerajaan baharu,” kata Mohamad Sabu.

Anwar pada sidang akhbar sebentar tadi mendakwa kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang selepas memperolehi majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan.

Jelasnya, kerajaan baharu itu adalah gabungan ahli Parlimen daripada pelbagai parti, namun tidak menyebut berapakah jumlah majoriti yang diperolehi.

“Rakyat Malaysia berhak dapat kerajaan yang kukuh dengan kepimpinan cekap dan yakin. Untuk urus ekonomi dengan kebijaksanaan dan tuntas. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua selamatkan negara dari kemelesetan ekonomi.

“Saya telah mendapat sokongan kukuh dan meyakinkan daripada ahli parlimen untuk saya persembahan kepada Yang di-Pertuan Agong. Dan ingin saya menyatakan di sini majoriti dan sokongan itu dalam kalangan Melayu dan Islam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jelasnya lagi, Anwar sepatutnya menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada semalam jam 11 pagi.

Namun pertemuan tersebut terpaksa ditangguhkan berikutan baginda yang kini sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

“Sokongan itu adalah kukuh dan meyakinkan, lebih daripada majoriti kecil 5, 10. Mengapa saya tak nak sebut sekarang? sebab saya letakkan penghormatan kepada Agong yang sepatutnya perkara terperinci perlu dimaklumkan kepada Agong terlebih dulu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN