SUNGAI SIPUT: MIC yakin mampu merampas semula kerusi yang menyaksikan calon daripada parti itu kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, kemenangan mampu dicapai berdasarkan trend sokongan terkini dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum PRU-14.
“Jika diadakan pilihan raya umum, kita yakin akan dapat kemenangan pada kerusi-kerusi yang hilang pada tahun 2018.
“Ketika ini rakyat yakin dengan kepimpinan dahulu di bawah BN. Saya berharap sistem baharu di mana Muafakat Nasional (MN) yang terdiri daripada BN, Pas dan Bersatu dapat diperkukuhkan lagi bagi menghadapi pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia Sungai Siput 2020 di Pusat Konvensyen Sungai Siput di sini hari ini.
Vigneswaran berkata demikian ketika mengulas peluang MIC sekiranya PRU-15 diadakan dalam masa terdekat.
Pada PRU-14, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen iaitu Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar, Kota Raja, Port Dickson, Segamat, Cameron Highlands, Sungai Siput dan Tapah.
Parti itu hanya menang di dua kerusi iaitu di Parlimen Tapah dan Cameron Highlands masing-masing menerusi Datuk Seri M. Saravanan dan Datuk C. Sivarraajh.
Mahkamah Pilihan Raya bagaimanapun mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU-14 terbatal dan tidah sah kerana didapati wujud amalan rasuah.
Kerusi berkenaan kemudiannya diberikan kepada UMNO untuk bertanding pada pilihan raya kecil dan dimenangi Ramli Mohd. Nor. – UTUSAN