Jangan jadikan rakyat mangsa politik - PH Johor - Utusan Malaysia

Jangan jadikan rakyat mangsa politik – PH Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menjelang Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu depan, Pakatan Harapan (PH) Johor menegaskan rakyat tidak boleh menjadi mangsa keadaan pergolakan politik sesama wakil rakyat.

PH Johor dalam satu kenyataan memaklumkan, semua 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka berpendirian agenda kebajikan dan ekonomi rakyat hendaklah menjadi keutamaan pada masa ini.

“Isu bread and butter’ dalam kalangan rakyat tidak boleh dikompromi khususnya saat berdepan fasa sukar akibat pandemik Covid-19.

“PH Johor telah beberapa kali mengajukan permohonan untuk bertemu mata dengan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad bagi mengetengahkan isu ini tetapi belum mendapat sebarang respon positif.

“Seluruh jentera kerajaan dan wakil-wakil rakyat mesti digembleng tanpa mengira perbezaan fahaman politik dan juga kepartian,” kata kenyataan itu di sini semalam.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan ketua parti komponen PH Johor iaitu Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP negeri, Liew Chin Tong.

Terdahulu, kenyataan itu memaklumkan bahawa PH Johor telah mengadakan mesyuarat tergempar semalam bersama-sama semua ADUN PH.

“Mesyuarat diadakan berikutan perkembangan politik terkini Johor dan DUN yang bersidang pada 10 dan 13 September ini,” ujar kenyataan tersebut.

Kenyataan itu dipercayai mengulas pergolakan yang berlaku melibatkan ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila dipercayai ura-ura dalam kalangan mereka bakal meninggalkan parti.

Malah kehadiran bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian merangkap ADUN Kempas dalam kempen calon bebas sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim di Perak sekali gus menimbulkan 1001 persoalan terhadap tindakan itu.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas memaklumkan pihaknya masih belum membincangkan berhubung status keahlian Osman.

Menurut Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu, mana-mana ahli yang melanggar peraturan, maka keahliannya terhenti dengan serta-merta.

Sebaliknya Osman menegaskan beliau masih penyokong Bersatu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN