Anti-Malaya bertukar jadi politik kebencian - Utusan Malaysia

Anti-Malaya bertukar jadi politik kebencian

Datuk Mohamaddin Ketapi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sentimen anti-Malaya yang konsisten dimainkan Parti Warisan Sabah (Warisan) nampaknya sudah melebihi paras bahaya apabila terdapat pemimpinnya mula mempersoalkan kebenaran di sebalik peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada tahun 2013.

Berucap dalam satu majlis kelmarin, Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi menyifatkan, peristiwa di Kampung Tanduo itu hanyalah satu propaganda pilihan raya Barisan Nasional (BN) di Sabah.

Beliau turut berkata, anggota keselamatan yang terkorban ketika berjuang dalam Ops Daulat bukan berperang dengan musuh sebenar, sebaliknya berlawan dengan ayam dan anjing di kampung berkenaan.

“Kamu ingat dahulu Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, dia bilang Filipina mahu ambil Sabah. Jadi ada peperangan konon di Tanduo, datanglah jet pergi Tanduo dibomnya sana kelapa sawit orang. Habis semua kelapa sawit orang. Habis rumah orang koyak-koyak ditembak. Ini kenyataan.

“Habis itu disuruh kereta kebal masuk pergi kampung-kampung berperang sama ayam. Siapa kawan dia berperang? Tidak ada. Ayam sama anjing kawan dia berperang. Apabila sudah habis pilihan raya, sudah habis pula peperangan itu,” katanya yang juga calon Warisan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama.

Menyelar kenyataan itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, jelas mesej ‘Unity’ Warisan yang terpampang di sekitar Sabah langsung tidak membawa sebarang nilai.

Beliau menegaskan, Warisan sepatutnya menukar tulisan pada papan iklan daripada Unity kepada Hate kerana itu sebenarnya wajah modal politik mereka.

“Ini kenyataan gila. Sebelum ini saya menyangka Warisan menghasut secara halus dengan mesej untuk menolak kononnya parti Malaya. Tapi ini sudah masuk kepada kebencian pada satu tahap yang tidak masuk akal.

“Dulu saya sangka Mohamaddin ini hanya angkuh dan tidak kompeten kerana kita masih ingat dia sombong mengatakan tidak perlu tutup sempadan kerana pelancong tidak akan ada penularan Covid-19. Rupanya lebih teruk daripada itu,” katanya dalam satu kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN