Wujud syor beri 'gigi' kepada SPR 'gigit' parti politik - Utusan Malaysia

Wujud syor beri ‘gigi’ kepada SPR ‘gigit’ parti politik

MUHYIDDIN Yassin menerima laporan daripada Ab. Rashid Ab. Rahman pada majlis penyerahan laporan khas Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya di Bangunan Parlimen petang tadi. - FB PM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Terdapat dua syor daripada Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) yang mencadangkan lebih kuasa diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menegur dan memantau parti-parti politik dalam pilihan raya.

Dua syor itu adalah pemindahan fungsi pendaftaran parti politik kepada SPR dan pewujudan undang-undang berkaitan penyaluran dana awam kepada parti politik.

Pengerusinya, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, syor-syor berkenaan memberi sedikit peranan kepada SPR untuk mengawal parti-parti politik dan menentukan hukuman jika terdapat parti politik melakukan kesalahan.

Katanya, syor itu seperti memberi ‘gigi’ kepada SPR untuk ‘menggigit’ mana-mana parti yang melanggar undang-undang pilihan raya.

“Dalam syor-syor ini, terdapat elemen hukuman atau denda dari SPR di dalamnya. Kita bukan hendak merendahkan fungsi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), ROS telah melaksanakan tugas mereka. Tetapi saya tidak fikir ROS boleh buat (menegur) parti politik sewaktu pilihan raya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kajian ERC mengambil masa selama dua tahun dengan 49 syor dikemukakan.

Laporan syor-syor tersebut diserahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Menara Parlimen, pagi tadi.

Tambah Ab. Rashid, dalam syor berkenaan, SPR diberi kuasa untuk memantau transaksi kewangan dan juga penyaluran dana-dana awam ke mana-mana parti politik. 

“Saya rasa, ini masanya selepas 63 tahun kita merdeka, jika kita buat perkara ini, ia amat bagus. Satu fungsi baharu untuk SPR.

“SPR boleh memeriksa perbelanjaan tahunan dan mengenal pasti dari mana dana diperoleh dan tempat salurannya. Kita tidak mahu terdapat parti yang memperoleh dana sebegitu banyak dan menggunakannya untuk memenangi pilihan raya,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ab. Rashid mencadangkan kerajaan membantu dari segi peruntukan dana kepada parti-parti politik.

Hal ini kerana terdapat 50 parti yang masih aktif berada dalam senarai SPR.

Beliau memberitahu, pihaknya mahu dana kerajaan dapat membantu menghidupkan demokrasi. 

“Mereka (50 parti politik) masih aktif. Tetapi, berfungsikah mereka dalam pilihan raya?. Jadi, kita hendak tentukan bahawa dana kerajaan bantu menghidupkan demokrasi dan merancakkan kehidupan demokrasi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN