UMNO Johor gesa beku akaun dihentikan - Utusan Malaysia

UMNO Johor gesa beku akaun dihentikan

SAMSOLBARI JAMALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: UMNO Johor menggesa pembekuan akaunnya berjumlah RM600,000 dapat dihentikan segera bagi membolehkan dana itu digunakan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)

Bendaharinya, Datuk Samsolbari Jamali berkata, pihaknya telah melakukan pelbagai usaha termasuk proses undang-undang agar dana itu dikembalikan, namun sehingga kini masih samar-samar.

“Buat masa ini, kita tidak mempunyai sumber kewangan lain untuk mengerakkan program parti di peringkat akar umbi. Kita sudah usahakan dalam hal ini, selebihnya kita serahkan kepada Allah.

“Kalau ada, adalah. Kalau tidak, kita guna apa yang ada sahaja buat masa ini. Kita tidak boleh bersandarkan kepada itu (dana RM600,000) sahaja. Kita belanja apa yang ada dan buat (program) yang mampu sahaja,” katanya.

Beliau yang juga Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Inovasi Jabatan Pertanian Negeri Johor Tahun 2020, di sini hari ini.

Pada 2018, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan membekukan akaun UMNO Johor selepas tindakan yang sama dikenakan terhadap akaun UMNO Pusat dan UMNO Selangor. 

Akaun UMNO Bahagian Johor Bahru juga turut dibekukan oleh Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung dana RM1 juta diberikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam pada itu, Samsolbari berkata, UMNO Johor perlu belajar daripada parti lain yang boleh terus ‘hidup’ walaupun tanpa kewangan yang kukuh dan perkara itu dapat dilakukan kerana mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi.

Katanya, walaupun dilanda badai ketika ini, ahli-ahli UMNO di negeri ini masih teguh berdiri di belakang parti kerana mereka percaya dan yakin dengan hala tuju serta perjuangan parti. 

“Tumpuan utama ketika ini adalah untuk memperkukuh parti dan bersiap sedia menghadapi PRU-15 seadanya selain memberi tumpuan terhadap ikatan sedia ada bersama Pas menerusi Muafakat Nasional (MN).

“Buat masa ini, semua perancangan dan pergerakan berjalan lancar termasuk mesyuarat di 2,370 cawangan UMNO di negeri ini yang sedang aktif dilakukan. 

“Pendirian UMNO Johor tidak lain ialah nak menang PRU15 dan terus bersama MN,” tambahnya. 

Disoal mengenai pengagihan kerusi antara UMNO dan Pas di peringkat negeri, beliau menjelaskan, perkara tersebut masih belum dibincangkan sebaliknya tumpuan diberikan bagi merancakkan program membabitkan kedua-dua parti itu di peringkat akar umbi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN