KUALA LUMPUR: Dua bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Tan Sri Musa Aman mempunyai pengaruh besar dan menjadi individu penting dalam memenangi hati rakyat Sabah.
Mohd. Shafie dari Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Musa (UMNO) mampu memastikan jangka hayat politik mereka berterusan, bagaimanapun kuasa memilih tetap berbalik kepada rakyat yang mengundi.
Penganalisis politik juga Pensyarah Kanan Komunikasi, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung berpendapat, pemilihan antara Mohd. Shafie dan Musa perlu dinilai dalam beberapa perkara.
“Mereka yang pernah termakan budi dengan Mohd. Shafie sudah pasti memilih beliau, Musa juga begitu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas siapa lebih dekat dengan rakyat untuk mentadbir Sabah selepas PRN akan datang.
“Kena tengok juga latar belakang seseorang dalam membuat pilihan. Disebabkan Shafie adalah Ahli Parlimen Semporna, faktor bangsa adalah penentu. Rakyat akan memilih ‘orang sendiri’.
“Tetapi dari segi pembangunan ekonomi, ini terpaksa diberi kepada Musa. Kita tidak boleh menafikan pembangunan di negeri ini ketika di bawah kepimpinan beliau,” katanya.
Khamis lalu, Mohd. Shafie mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sekali gus membuka jalan kepada pilihan raya negeri.
Ia susulan Musa mendakwa mempunyai 33 sokongan wakil rakyat untuk membentuk kerajaan negeri baharu. Bagaimanapun hasrat beliau terhenti apabila DUN dibubarkan sebelum Musa sempat bertemu Juhar di Istana Negeri.
Terkini, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata, parti itu akan mempertahankan semua 32 kerusi DUN. Di pihak Bersatu, Datuk Seri Hajiji Noor pula berkata, mereka akan meletakkan calon di 45 kerusi.
Berlaku perselisihan apabila UMNO mengingatkan Bersatu untuk tidak berangan untuk bertanding dibanyak kerusi dan tumpuan sudah tentu kepada mesyuarat antara kedua-dua parti itu hari ini.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohamed Salleh Said Keruak ketika ditanya antara Mohd. Shafie dan Musa, beliau hanya mengulas: “Saya berat sebelah dan semua orang tahu berkenaan prinsip dan pendirian saya.”