Saya bukan barangan untuk dibeli - Salahuddin - Utusan Malaysia

Saya bukan barangan untuk dibeli – Salahuddin

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub menerima memorandum Penduduk Flat Kos Rendah Taman Desa Kempas semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub menafikan beliau akan keluar Parti Amanah Negara (Amanah) dan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, beliau tidak sesekali akan berbuat demikian meskipun mengakui pernah menerima tawaran daripada pemimpin PN untuk melompat parti.

“Saya tidak akan mengkhianati mandat diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan masih setia dengan parti Amanah.

“Salahuddin ini masih Timbalan Presiden dan setia kepada Amanah. Saya akan menunaikan janji mandat diberikan oleh rakyat dan untuk rakyat,” katanya selepas menerima memorandum Penduduk Flat Kos Rendah Taman Desa Kempas di sini semalam.

Beliau mengulas berita tular di media sosial bahawa enam Ahli Parlimen Amanah dijangka keluar parti untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyokong PN.

Difahamkan, kumpulan itu akan diketuai Salahuddin.

Lima lagi, Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus (Hulu Langat), Dr Hasan Baharom (Tampin), Datuk Mohd. Anuar Tahir (Temerloh), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Datuk Dr Mohd. Hatta Ramli (Lumut).

Salahuddin juga menafikan lima Ahli Parlimen Amanah lain akan turut sama keluar parti dan menyifatkan berita tular tersebut sebagai ‘psywar’.

Katanya, PN kini terdesak untuk meraih sokongan ahli parlimen memandangkan mereka memperoleh undi tipis sewaktu pengundian di Dewan Rakyat.

“Sebab itu, mereka (PN) sangat bimbang dengan keadaan itu dan sengaja timbul psywar ini dan kononnya meraih sokongan daripada kami,” katanya.

Ketika ditanya individu yang menawarkan agar beliau menyertai PN, Sallahuddin enggan mengulas.

“Saya bukan barangan untuk dijual beli,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah pula mengalu-alukan penyertaan pemimpin politik dalam Bersatu.

Memetik laporan Bernama, Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, penyertaan tersebut adalah bagi memberi kestabilan politik dalam negara.

Ujar beliau, sekiranya benar terdapat beberapa Ahli Parlimen daripada Parti Amanah Negara (Amanah) keluar parti dan menyertai Bersatu, ia adalah bukti keyakinan mereka terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya