Penyertaan Bersatu bakal jadi gabungan besar - Utusan Malaysia

Penyertaan Bersatu bakal jadi gabungan besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Muafakat Nasional dilihat bakal menjadikan gabungan tersebut sebagai kuasa besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Tosrin Jarvanthi berkata, penyertaan Bersatu itu juga secara tidak langsung memainkan peranan penting sebagai penentu hala tuju dan survival politik orang Melayu di negara ini. 

Katanya, tidak timbul isu pengagihan kerusi baik di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen bakal menjejaskan hubungan kepada gabungan tersebut. 

“Saya tidak lihat isu pengagihan kerusi akan menimbulkan masalah kerana yakin pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti antara Bersatu, UMNO dan Pas berpegang teguh terhadap pakai sebenar demi penyatuan ummah dan orang Melayu. 

“Malah, berlandaskan paksi yang sama, saya penuh yakin bahawa Muafakat Nasional akan mendapat majoriti besar pada PRU akan datang khasnya di kawasan majoriti Melayu,” katanya ketika ditemui di program Kaunter Terbuka Yayasan Sejahtera Kulai di Taman Muhibbah, di sini hari ini. 

Pada minggu lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi itu bersetuju menyertai Muafakat Nasional yang mendukung Perikatan Nasional sebagai gabungan besar. 

Muhyiddin berkata, bahawa langkah tersebut merupakan pilihan terbaik untuk parti itu dan keputusan penyertaan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. 

Dalam pada itu, Tosrin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional itu juga menjawab terhadap desakan sesetengah pihak yang mahu pemimpin serta ahli Bersatu keluar parti dan menyertai UMNO.

“Saya tidak melihat itu sebagai isu pokok, yang penting sekarang ini kita dapat satukan tiga parti Melayu terbesar dalam Muafakat Nasional yang menjadi kuasa politik yang baharu. 

“Pilihan Raya Kecil DUN Slim, Perak akan menjadi penanda aras terhadap kerjasama ketiga-tiga parti ini dan sejauh mana keutuhan gabungan ini dapat dibuktikan,” tambahnya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN