Muafakat Nasional tunggu permohonan rasmi Bersatu - Utusan Malaysia

Muafakat Nasional tunggu permohonan rasmi Bersatu

AHMAD Zahid Hamidi melaungkan kata-kata semangat sebagai penamat ucapannya pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda PRK DUN Slim di Felda Residen Trolak, Tanjung Malim, hari ini. - FOTO/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Muafakat Nasional (MN) menunggu surat rasmi daripada Bersatu setelah parti itu dilaporkan bersetuju menyertai gabungan kerjasama UMNO dan Pas. 

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyerahkan kepada jawatankuasa Muafakat Nasional untuk memurnikan apa juga kedudukan apabila tiga pihak iaitu UMNO, Pas dan Bersatu bersama-sama mendokong MN.

Menurutnya, jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Presiden Pas itu telah mengambil jalan terbaik untuk memurnikan keadaan atas rasa perkongsian politik.

“Saya ingin mengesahkan dalam mesyuarat Muafakat Nasional, perkara itu diterima sebagai keputusan menjemput mereka (Bersatu). Namun kita sedang menunggu surat balasan daripada mereka.

“Mudah-mudahan ini akan memberikan keberhasilan yang optimum apabila PRU-15 diadakan,” katanya kepada pemberita selepas Perasmian dan Pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) Perak sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di  Felda Residence, Trolak dekat sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan parti pimpinannya bersetuju menyertai MN.

Menurut laporan sebuah portal berita, Muhyiddin dalam satu rakaman video berkata, ia adalah pilihan terbaik Bersatu kerana penyatuan itu akan mewujudkan kestabilan politik negara.

“Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM bersetuju menyertai Muafakat Nasional yang mendokong Perikatan Nasional sebagai gabungan besar (the grand coalition).

“Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita.

“Dengan terbentuknya penyatuan antara PPBM, UMNO, Pas dan parti-parti lain dalam kerajaan Perikatan Nasional, sebahagian besar sokongan rakyat sudah berada di pihak kita,” katanya dalam klip video itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN