MN Gombak tidak terima individu 'lompat' - Utusan Malaysia

MN Gombak tidak terima individu ‘lompat’

Megat Zulkarnain Omardin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Tiada ruang bagi ahli politik yang ‘melompat’ parti untuk bertanding mewakili Muafakat Nasional (MN) di kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Gombak, Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang. 

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, MN Gombak terutama UMNO dan Pas tidak menerima ahli politik yang ‘melompat’ parti untuk bersama gabungan itu di bahagian tersebut. 

“Kami di peringkat bahagian dan saya sebagai Ketua Bahagian bersama Yang Dipertua Pas Gombak (Salehuddin Mohd. Nasir) sudah membuat pendirian jelas bahawa untuk PRU-15, mana-mana calon untuk (kerusi) Parlimen atau DUN perlu mendapat persetujuan MN yang asal (UMNO dan Pas).

“Bagi kami (UMNO dan Pas) semua di (Bahagian) Gombak, kita tidak meraikan mereka yang ‘melompat’ ini… sebagai mana kita tidak menerima apabila ada antara ahli Parlimen kita (UMNO) yang ‘melompat’ selepas kita tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), begitu jugalah dengan yang ‘melompat’ daripada parti asal mereka untuk bersama kita (MN) ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada majlis Anugerah Selempang Tertinggi Perguruan dan Perasmian Pembukaan Gelanggang Silat Cekak Harimau Malaya di Chenor di sini malam semalam. 

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Pahang, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah dan Yang Dipertua Persatuan Silat Cekak Harimau Malaya, Datuk Osman Nok.

Megat Zulkarnain yang juga Setiausaha Agung Pesaka berkata, pimpinan UMNO dan Pas di Gombak telah pun bersetuju bahawa semua kerusi dalam kawasan Parlimen itu bagi PRU-15 hanya akan ditandingi oleh calon dari MN.

Ketika ditanya berhubung usaha untuk mengadakan perbincangan dan pertemuan bersama Ahli Parlimen Gombak yang juga Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Megat Zulkarnain berkata, perkara itu bukan menjadi keutamaan kerana pendirian MN di bahagian berkenaan sudah dimuktamadkan.

“Tidak ada pertemuan, saya tak jumpa, tak runding dan saya rasa tidak ada keperluan untuk kami jumpa dan bincang… mereka ada cuba (untuk jumpa) tapi saya rasa tidak perlu sebab dalam politik ini, kita boleh ada perbezaan pendapat, pandangan berbeza, tapi janganlah sampai mengeluarkan kenyataan yang kita (UMNO Bahagian Gombak) tidak lupa sampai sekarang,” katanya.

Megat Zulkarnain dan Salehuddin dalam temubual melalui laman sosial Facebook GombakTV pada pertengahan Julai lalu, dilaporkan mempersoalkan status Mohamed Azmin yang tidak mempunyai parti, selepas ‘melompat’ meninggalkan PKR.

Mohamed Azmin turut didakwa melancarkan gerakan untuk meminggirkan kerjasama UMNO dan Pas di Selangor, selain dikatakan berada dalam keadaan keliru, sama ada beliau memegang jawatan sebagai Menteri dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau masih bersama Pakatan Harapan (PH). 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN