Dua ADUN tidak akan kosongkan kerusi - Utusan Malaysia

Dua ADUN tidak akan kosongkan kerusi

DR. AFIF BAHARDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin menegaskan, tiada keperluan untuk beliau mengosongkan kerusi yang disandangnya kerana dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya.

Menjawab kenyataan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang mahu meneruskan pembentangan usul kekosongan kerusi terhadap mana-mana ADUN yang tidak lagi menyokong Pakatan Harapan (PH) di negeri ini pada sidang DUN Oktober ini, beliau berkata, pemilihannya bukan dibuat oleh ADUN atau Ketua Menteri Pulau Pinang.

Katanya, dalam isu tersebut, Perkara 14A(1) Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012 tidak sepatutnya diguna pakai kerana secara tidak langsung menyerlahkan kepincangan institusi demokrasi yang diamalkan di Pulau Pinang ketika ini.

“Saya dipecat daripada jawatan Exco dan digantung daripada parti tetapi tak pernah umum untuk keluar parti (PKR). Jadi, kena baca betul-betul akta itu (Perkara 14A(1)).

“Sebenarnya, sejak awal lagi (2012) saya dah nampak akta ini seperti bertentangan dengan Perlembagaan negeri dan tidak seharusnya dipertahankan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

ZOLKIFLY MD. LAZIM

Sementara itu, ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim juga tidak akan melepaskan kerusi yang disandangnya atas alasan beliau masih ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tidak pernah melompat ke parti lain.

“Saya masih lagi Pengerusi Bersatu Bahagian Balik Pulau, saya hanya tarik balik sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, sekiranya kerajaan negeri mengusulkan perkara berkenaan, usul itu adalah ultra vires kepada undang-undang Persekutuan.

“Kekosongan DUN tidak boleh diusulkan di sidang DUN, hanya mahkamah yang boleh menentukan perkara ini,” katanya yang akan menjalankan tugas ADUN seperti biasa.

Selain Afif dan Zolkifli, dua lagi ADUN yang turut mengumumkan hilang sokongan terhadap kerajaan PH Pulau Pinang ialah ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim (PKR) dan ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bersatu). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN