Bersatu dijangka tubuh sayap baharu - Utusan Malaysia

Bersatu dijangka tubuh sayap baharu

MUHYIDDIN Yassin (dua dari kanan) menyerahkan kad keahlian Bersatu kepada Mohamed Azmin (tiga dari kiri) pada Kongres Negara 2020 Bersatu untuk Malaysia di MITEC, Kuala Lumpur, petang tadi. Turut hadir, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (kanan). - FOTO/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka menubuhkan sayap baharu untuk golongan bukan Me­layu dalam usaha memper­kasakan parti tersebut.

Presidennya, Tan Sri Muh­yiddin Yassin berkata, Bersatu juga bersedia meminda perlembagaan parti bagi membentuk sayap tersebut dengan memberi peluang kepada kaum lain memegang jawatan.

Katanya, cadangan tersebut dijangka dibentangkan jawatan kuasa khas diketuai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Tan Sri Dr. Rais Yatim untuk dipersetujui bersama di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

“Bersatu terbentuk untuk menggerakkan orang Melayu Islam mara ke depan membantu majukan negara.

“Sejak awal kita ada peruntukan yang membolehkan bukan Melayu dan Islam sertai gerakan politik kita ini iaitu ahli bersekutu.

“Dalam mesyuarat lalu, saya telah bawa usul untuk membolehkan ahli sama-sama menyumbang, bukan setakat menjadi ahli biasa bersekutu sahaja tetapi berperanan memberikan idea dan pandangan serta terlibat bersama-sama dalam ke­pimpinan iaitu cadangan untuk bentuk ‘chapter’ (sayap) baharu dalam Bersatu,” katanya ketika berucap dalam Kongres Negara di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini semalam.

Pada majlis itu, beliau menye­rahkan kad keahlian Bersatu kepada Menteri Perdaga­ngan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai simbolik penyertaan secara rasmi bekas Timbalan Presiden PKR itu dan kemnya menyertai parti berkenaan.

Mohamed Azmin turut mengisytiharkan penyertaan bersama lebih 200,000 ahli-ahli Penggerak Komuniti Negara, Pemuda Negara, Nations of Women (NOW) dan Penggerak Wanita Muda Negara ke dalam Bersatu.

Muhyiddin berkata, satu me­syuarat agung luar biasa (EGM) akan dilaksanakan sekiranya cadangan tersebut dipersetujui bersama di peringkat MPT.

“Kalau diterima, insya-Allah kita akan adakan satu EGM untuk meminda Perlembagaan Bersatu supaya boleh bentuk sayap baharu ini.

“Jadi, kita akan bersama-­sama dalam satu saf kerana di hadapan kita ini cabarannya lebih besar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Bersatu akan mempercepatkan proses pendaftaran ahli-ahli baharu.

“Saya cukup bangga dan terhormat menyertai sebuah politik yang baru empat tahun ditubuhkan. Tapi kita perlu sedar untuk mara ke depan kita mesti bersatu hati bersatu untuk Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN