TANJUNG MALIM: Beberapa pengundi warga emas berang apabila tidak dibenarkan masuk ke pusat pengundian di Sekolah Kebangsaaan (SK) Aminuddin Baki di sini hari ini untuk mengundi kerana memakai seluar pendek.
Malah seorang pengundi warga emas berseluar pendek yang tidak dapat masuk ke pusat mengundi, menjerit sambil berkata, ini kali pertama dia tidak dibenarkan masuk ke pusat pengundian kerana memakai seluar pendek.
Beliau kemudiannya meninggalkan pusat pengundian tersebut.
Seorang lagi warga emas yang dikenali Yoong tidak dapat menahan kecewa bertindak mengoyak kad pengundi sebelum beredar.
Namun selepas 10 minit insiden itu, kelihatan beberapa pengundi yang sebelum ini dihalang masuk kembali ke pusat pengundian dengan memakai seluar panjang.
Sementara itu, ejen sebuah parti yang dikenali Wee menyatakan rasa kecewa kerana dianggarkan lebih 10 pengundi telah pulang tanpa mengundi kerana kecewa.
“Mereka semua orang kampung, takkan datang ke sini mahu pakai cantik-cantik macam nak pergi pejabat.
“Ada yang lepas mengundi mahu terus pergi pekerja,” katanya.
Sementara itu, seorang pegawai yang memakai pas SPR berkata, berlaku salah faham dalam soal etika pakaian ke pusat pengundian.
Selepas penjelasan tersebut, pengundi dibenarkan masuk memakai seluar pendek.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, pihaknya tidak menetapkan etika berpakaian seperti kehadiran ke pejabat bagi pengundi ke pusat pengundian. – UTUSAN