Belum tiba masa bertanding solo - Khaled - Utusan Malaysia

Belum tiba masa bertanding solo – Khaled

MOHAMED Khaled Nordin menyampaikan bantuan kepada penerima dalam Program Bantuan Makanan Yayasan Pasir Gudang di Pasir Gudang, Johor, semalam. - FOTO/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Belum tiba masanya untuk UMNO membuat pendirian sama ada ingin bertanding secara ‘solo’ atau bekerjasama dengan parti lain pada pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu diketahui sebaik tiba pada masanya kelak.

Katanya, kekuatan UMNO tidak sesesekali terjejas meskipun terdapat ura-ura ramai lagi ahli Parlimen pembangkang berhasrat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Tidak (terjejas pengaruh Bersatu). UMNO dengan cara UMNO, kita akan teruskan dengan parti dan Barisan Nasional (BN).

“Kini kita adalah sebahagian parti yang bekerja dengan Muafakat Nasional (MN) dan ia akan diperkukuhkan lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Program Bantuan Makanan Yayasan Pasir Gudang di sini hari ini.

Sejak kebelakangan ini, Bersatu dilihat cuba meraih sokongan Pas dalam usaha mereka memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Malah tular khabar angin beberapa Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah) yang dikhabarkan menyertai Bersatu dalam usaha mereka memperkukuhkan parti.

Ketika ditanya penyertaan Bersatu dalam MN, Mohamed Khaled berkata, gagasan politik itu bersifat inklusif dan bukannya eksklusif serta terbuka kepada mana-mana pihak.

Beliau menjelaskan, MN merupakan satu gagasan yang bertujuan memantapkan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Ia terbuka, tidak eksklusif tetapi inklusif dengan terbuka kepada sesiapa sahaja, ia tiada kaitan dengan persiapan pilihan raya atau agihan kerusi,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Bersama Sekretariat MN, Tan Sri Annuar Musa semalam yang memaklumkan Bersatu sudah menyatakan persetujuan untuk MN pada Selasa lalu.

MN sudah menerima surat persetujuan daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN