Anak Ikmal Hisham tak dilantik lembaga pengarah Pharmaniaga - Utusan Malaysia

Anak Ikmal Hisham tak dilantik lembaga pengarah Pharmaniaga

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) bersama calon BN, Mohd. Zaidi Aziz (kanan) pada program bersama pengundi di Felda Besout 2 di Slim, Perak hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Anak Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz tidak dilantik dalam lembaga pengarah anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Pharmaniaga walaupun mendapat sokongan menteri.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, LTAT tidak memasukkan nama anak Ikmal Hisham dalam lantikan ahli lembaga pengarah anak syarikat LTAT.

Ismail Sabri yang mengesahkan memberi sokongan pelantikan anak Ikmal Hisham berkata, beliau tiada kuasa dan tidak mencampuri urusan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga.

“Saya difahamkan beliau (anak Ikmal Hisham) tidak dilantik (Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga). Saya pun tak campur dari segi lantikan.

“Terserah kepada LTAT dalam membuat pelantikan. LTAT tidak memasukkan nama beliau dalam lantikan ahli lembaga pengarah.

“Saya setakat beri surat sokongan saja, berhenti setakat itu. Saya hanya beri sokongan, saya tiada kuasa melantik, dia tak dapat,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perjumpaan bersama warga veteran Angkatan Tentera Malaysia(ATM) di Felda Besout 2, di sini hari ini.

Ismail Sabri Yaakob juga menafikan timbalannya itu menyalah guna kuasa apabila meminta sokongannya untuk melantik anak timbalannya itu sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga menerusi surat yang tular dalam media sosial.

Menurutnya, walaupun memberi sokongan pelantikan anak timbalannya itu, tidak bermakna pelantikan itu dipenuhi.

“Sebenarnya dia tak perlu pun hantar surat untuk mendapat sokongan saya sebab sebagai timbalan menteri, dia juga boleh terus kepada pengerusi LTAT.

“Ramai yang kata dia salah guna kuasa. Kalau dia salah guna kuasa, dia sendiri boleh terus (kepada pengerusi LTAT), tak perlu melalui saya tapi dia tidak menggunakan kuasa dia untuk direct (terus) kepada pengerusi LTAT,” katanya.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini mengenai salinan surat sokongan yang ditulis oleh Ikmal Hisham yang dikatakan meminta anaknya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga, tular dalam media sosial semalam.

Surat berkenaan ditujukan kepada Ismail Sabri bertarikh 5 Jun lalu mengandungi tulisan tangan Ismail yang diminitkan kepada pengerusi LTAT dengan mengatakan beliau bersetuju cadangan itu.

Pemegang saham utama Pharmaniaga adalah Boustead Holdings. LTAT memegang saham majoriti di Boustead dan juga sebahagian saham dalam Pharmaniaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN