IPOH: UMNO sudah mengenal pasti calonnya yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang enggan mendedahkan nama calon berkenaan berkata, calon yang dipilih itu dikenali dan diterima oleh parti dan pengundi.
“(Calon) sudah ada cuma tunggu masa untuk umum. Ada ramai yang berpotensi tapi seorang saja yang dipilih,” katanya.
Beliau ditemui selepas Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Negeri Perak oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, di sini hari ini.
Difahamkan, UMNO akan mengumumkan nama calon dari parti itu pada 12 Ogos ini.
Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Zolkafli Harun berkata, UMNO Perak sudah menyenaraikan sembilan ahli parti itu yang layak menjadi calon pada PRK Slim.
Kata Zolkafli, semua mereka adalah anak tempatan dan ahli UMNO Bahagian Tanjung Malim.
Sementara itu, mengenai keputusan PKR yang tidak akan meletakkan calon, Saarani berkata, sehingga hari penamaan calon, baru dapat dipastikan ada pertandingan atau tidak dalam PRK Slim.
“Kita buat persiapan seperti biasa dengan andaian ada pertandingan. Kalau tiada (pertandingan), itu bonus untuk kita,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Ogos depan hari pengundi PRK Slim dan hari penamaan calon pada 15 Ogos manakala pengundian awal pada 25 Ogos. – UTUSAN