Drebar lori rempuh 11 kereta tak mengaku salah

Drebar lori rempuh 11 kereta tak mengaku salah

Rempuh kereta
C. Agilan yang memandu sebuah lori dan merempuh 11 kenderaan di Persiaran Mokhtar Dahari dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Shah Alam, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pemandu lori yang merempuh 11 deretan kereta di Persiaran Mokhtar Dahari pada Jumaat lalu mengaku tidak bersalah memandu di bawah pengaruh dadah, di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Malah, tertuduh, C. Agilan 51, juga membuat pengkuan sama ke atas pertuduhan memasukkan dadah jenis amfetamin dan metamfetamin di kamar mahkamah berasingan.

Mengikut pertuduhan, di hadapan Majistret Mastura Khamis, bapa seorang anak itu didakwa memandu lori dalam keadaan positif kedua-dua jenis dadah itu sehingga menyebabkan dirinya tidak berdaya lalu mengakibatkan kecederaan kepada empat pemandu berusia 17 hingga 58 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Persiaran Mokhtar Dahari di sini kira-kira pukul 4.30 petang pada 9 Oktober lalu.

Di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin pula, Agilan didakwa memasukkan dadah tersebut di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira pukul 11.30 malam pada hari sama.

Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda antara RM30,000 hingga RM50,000 serta penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan dan Nur Amirah Zahari manakala tertuduh diwakili Peguam Rohan Singh.

Kedua-dua mahkamah membenarkan jaminan keseluruhan RM12,900 bersama seorang penjamin selain lesen digantung sehingga kes selesai dan melapor diri di balai polis.

Sebutan semula ditetapkan pada 22 September ini dan 11 Januari tahun depan.

Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan, sebuah lori 10 tan muatan bahan binaan dipercayai mengalami masalah brek dan hilang kawalan lalu merempuh deretan kenderaan di arah bertentangan yang sedang berhenti pada lampu isyarat merah di Persimpangan Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang itu menyebabkan empat mengalami kecederaan selepas lori terbabit merempuh 11 kenderaan dari arah Puncak Alam menghala ke Shah Alam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, kesemua mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini