Remaja mengaku sembunyikan kelahiran

Remaja mengaku sembunyikan kelahiran dakwa dirogol

Sembunyi kelahiran
NUR Alieya Danisha Muhd. Alif Subramaniam dibawa polis ke Mahkamah Majistret bagi menghadapi pertuduhannya, di Sabak Bernam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Seorang remaja perempuan mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran bayi pada 24 Mac lalu selepas mendakwa dia rogol oleh lelaki yang baru dikenalinya.

Tertuduh, Nur Alieya Danisha Muhd. Alif Subramaniam membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan di bacakan ke atasnya dan turut disaksikan ibunya yang hadir sebagai waris.

Dia kemudian dijatuhkan hukuman penjara selama sebulan dari tarikh sabitan dan denda RM5,000 atau tambahan penjara lima bulan jika gagal membayarnya. Tertuduh membayar denda tersebut.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh berusia 18 tahun menyatakan dia mengandung kerana dirogol oleh lelaki yang baru dikenali, tetapi tidak melaporkan kepada sesiapa kerana takut.

“Tertuduh mengesahkan tiada sesiapa yang terlibat dengan rancangan untuk melupuskan bayi kerana ia berlaku secara mengejut apabila dia tiba-tiba bersalin di dalam tandas,” katanya seperti yang dibacakan oleh jurubahasa.

Menurut kenyataan sama, siasatan polis terhadap tertuduh bersama ibunya mendapati, remaja itu mengaku tidak tahu dirinya mengandung tetapi rasa sakit perut seperti senggugut.

“Apabila ke tandas di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani, tiba-tiba bayi terus terkeluar jatuh ke dalam lubang tandas. Tertuduh panik dan terus membersihkan diri dan keluar dari tandas,” jelasnya.

Mengikut pertuduhan Nur Alieya Danisha didakwa melakukan perbuatan menyembunyikan kelahiran secara rahsia dan membuang mayat seorang bayi yang dilahirkan yang mana dia mati selepas dilahirkan.

Kesalahan tersebut dilakukan dekat tandas wanita sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani pada 23 Mac lalu, kira-kira pukul 11 pagi.

Justeru, pembantu sebuah kedai makan itu dituduh di bawah Seksyen 318 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhd. Muqri Mohd. Khairi memohon mahkamah mengenakan hukuman denda ringan kerana anak guamnya itu menyesali perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya.

“Tertuduh ditanggung oleh seorang ibu tunggal dan bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan. Ibunya bekerja dekat sebuah kilang dengan gaji RM1,500 sebulan.

“Selain itu, tertuduh memberi kerjasama yang baik bagi membantu siasatan sejak ditahan polis. Itu adalah kesalahan pertamanya, tidak berfikir secara waras dan bertindak secara melulu pada hari kejadian,” ujarnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin memohon hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat terutama golongan muda, lebih-lebih lagi apabila menyebabkan kematian bayi yang tidak berdosa.

Majistret Siti Hajar Ali kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan denda RM5,000 dan berpendapat ia memadai berdasarkan faktor pemberat pada fakta kes serta hujahan selain usia tertuduh yang masih muda.

“Mahkamah berpendapat juga hukuman dapat membentuk semula disiplin dan mengubah tingkah laku tertuduh selaras dengan norma masyarakat madani,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya