PETALING JAYA: “Stresnya sampai rasa nak bunuh orang je.” “Hang belasah je la sampai puas.” “Lantaklah nak hidup ke nak mati.”
Itu antara perbualan di aplikasi WhatsApp yang dibacakan oleh juruanalisis Polis Diraja Malaysia (PDRM) di antara `Baby Sayang’ dan ‘Manja’ yang berlaku sebelum dan selepas kehilangan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Perkara itu didedahkan oleh Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer PDRM, Asisten Superintenden Mohd. Zaidi Abu Hassan sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi.
Saksi pendakwaan ke-25 memberitahu, perbualan itu diekstrak daripada akaun iCloud sebuah telefon Iphone atas nama Ismanira Abdul Manaf dan akaun Google daripada telefon bimbit Huawei atas nama Zaim Ikhwan Zahari.
Saksi itu bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik identiti `Baby Sayang’ dan `Manja’ serta telefon bimbit yang digunakan oleh dua nama tersebut.
Terdahulu, Mohd. Zaidi menyatakan, pada 4 Jun 2024, beliau telah menerima satu beg plastik mengandungi dua telefon bimbit masing-masing jenis Iphone dan Huawei dalam keadaan baik.
Katanya, pemeriksaan terhadap telefon bimbit itu telah mengekstrak perbualan pada lima tarikh iaitu 20 Jun, 11 Oktober, 20 November, 1 Disember dan 5 Disember, kesemuanya pada 2023.
Antara perbualan yang diekstrak adalah perbualan yang berlaku beberapa bulan sebelum Zayn Rayyan hilang iaitu pada 20 Jun 2023.
Antara kandungan perbualan yang direkodkan adalah ‘stresnya sampai rasa nak bunuh orang je’, ‘kena belasah dah sekor sekor’, ‘aku nak rehat pun tak boleh’.
Turut dibacakan di mahkamah adalah mesej balas kepada perbualan tersebut:
Nur Sabrina: Boleh ASP bacakan mesej di kotak ke-10?
Mohd Zaidi: “Hang belasah je la sampai puas.”
Nur Sabrina: ASP boleh bacakan teks pada kotak kedua?
Mohd Zaidi: “Pastu nanti sakit ke mati baru tahu.”
Selain itu, pendakwaan turut meminta saksi berkenaan untuk membacakan beberapa perbualan di antara Baby Sayang dan Manja bertarikh 5 Disember 2023 iaitu pada hari Zayn Rayyan dilaporkan hilang.
Nur Sabrina: Merujuk teks pada 5 Disember 2023, kotak keenam, boleh ASP bacakan kepada mahkamah?
Mohd. Zaidi: “Zayn hilang.”
Nur Sabrina: Kotak ketujuh?
Mohd. Zaidi: “Dia lari.”
Nur Sabrina: Kotak kelapan?
Mohd. Zaidi: “Lantaklah nak hidup ke nak mati.”
Nur Sabrina: Kotak kesembilan?
Mohd. Zaidi: “Letih gila aku mencari.”
Nur Sabrina: Kotak ke-10?
Mohd. Zaidi: “Geram betullah.”
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira yang kedua-duanya berusia 30 tahun didakwa telah mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal yang didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023 di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN