KOTA BHARU: Dua sekawan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki sebanyak 7,392 liter diesel tanpa lesen sah di Kampung Gong Kala Sungai Petai, Pasir Puteh dekat sini, tahun lalu.
Kedua-dua orang kena saman (OKS) iaitu Mohd. Shaifudin Mat Hassan, 47, yang merupakan pemandu lori dan tukang rumah, Mohd. Salman Hassan, 30, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Shaifudin dituduh menyimpan 3,993 liter diesel yang merupakan barangan kawalan di dalam sebuah tangki dalam keadaan mencurigakan dan disyaki bertujuan untuk urusan jual beli tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Bagi pertuduhan melibatkan Mohd. Salman, lelaki itu didakwa memiliki minyak diesel sebanyak 3,399 liter yang dijumpai dalam lori tangki tanpa lesen yang sah. Perbuatan itu dilakukan oleh mereka di lokasi yang sama iaitu di sebuah premis di Jalan Kampung Gong Kala, Sungai Petai dekat Pasir Puteh kira-kira pukul 5 pagi pada 2 Februari tahun lalu.
Kedua-dua OKS melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Kedua-dua tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 bagi setiap OKS dan dengan syarat tambahan iaitu mereka perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan selain menetapkan 13 Mei ubu untuk sebutan semula kes. – UTUSAN