PETALING JAYA: Dua anggota tentera didakwa di Mahkamah Majistret Miri, Sarawak atas pertuduhan menyebabkan kematian rakan sepasukan, pada 24 Mac lalu.
Tertuduh, Muhammad Afiq Syarim, 23, dari Bedong, Kedah dan Mohamad Faies Khuzaimah, 21, dari Tumpat, Kelantan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana membunuh Muhammad Muqriz Aseri, 21.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama menyebabkan kematian Muhammad Muqriz antara pukul 2.15 pagi hingga 3.05 pagi, 24 Mac lalu.
Kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bilik di Blok Kediaman Bujang LLP, Kompeni Alpa, Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) Kem Sri Miri.
Mereka hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Ashok Linggam.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Franklin Ganggan Bennet memohon tarikh untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat mangsa dan laporan kimia.
Mahkamah menetapkan 30 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kedua-dua tertuduh diperintahkan menjalani tahanan lanjut mengikut Seksyen 259 Kanun Prosedur Jenayah sementara menunggu tarikh itu.
Mohamad Faies diwakili peguam, Ranbir Singh manakala Muhammad Afiq tidak diwakili peguam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi 24 Mac lalu, Muhammad Muqriz dilaporkan sedang tidur di berek bujang Kem Sri Miri apabila dikejutkan oleh dua anggota senior untuk bersahur.
Namun, sebelum bersahur, anggota senior terbabit dikatakan mengarahkan mangsa untuk melakukan commando rest (pacak kepala di lantai, tangan ke belakang) selama dua minit dan tekan tubi 20 kali.
Mangsa yang berpeluh dilaporkan berdiri sebelum pitam. Kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada seorang anggota berpangkat koperal yang juga ketua bilik bujang di berek berkenaan.
Koperal itu kemudian menghantar mangsa ke Hospital Miri, sebelum doktor mengesahkan mangsa meninggal pada pukul 3.05 pagi. – UTUSAN