KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini membenarkan penangguhan perbicaraan peringkat bela diri membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membabitkan tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Hakim Rosli Ahmad membenarkan penangguhan tersebut selepas pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How tidak mengemukakan sebarang bantahan.
“Pihak kami baru sahaja menerima arahan pada pagi ini yang mana kami tiada bantahan ke atas permohonan pengantungan prosiding yang dikemukakan oleh pihak pemohon,” katanya.
Terdahulu, peguam, M. Athimulan yang mewakili Bung Moktar dan Zizie Izette memaklumkan, permohonan semakan pasangan itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 11 April ini di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 hingga 20 Ogos, 2 hingga 4 dan 24 hingga 26 September untuk perbicaraan peringkat bela diri. Perbicaraan peringkat bela diri itu sepatutnya bermula hari ini.
Untuk rekod, Mahkamah Rayuan pada 18 November 2024 memerintahkan Bung Moktar, 66, dan isterinya, Zizie Izette, 47, membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu yang diputuskan Mahkamah Tinggi di sini, pada 7 September 2023.
Pada 2 September 2022, Hakim Rozina Ayob telah memerintahkan mereka berdua membela diri atas tiga pertuduhan rasuah, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar ketika memegang jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid menerusi isterinya di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara pukul 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.
Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu. – UTUSAN