Wartawan Malaysiakini yakin peroleh keadilan di mahkamah

Wartawan Malaysiakini yakin peroleh keadilan di mahkamah

Wartawan rasuah
B. Nantha Kumar tiba di Mahkamah Sesyen bersama P. Purshotaman untuk menghadapi pertuduhan menerima suapan, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Wartawan portal berita Malaysiakini, B. Nantha Kumar yakin bagi mendapatkan keadilan di mahkamah untuk membersihkan namanya daripada pertuduhan menerima rasuah, di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Hal itu dinyatakan peguamnya, P. Purshotaman selepas anak guamnya itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM20,000 daripada Muhammad Zahid (warganegara Pakistan) pada bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, Nantha Kumar, 42, didakwa menerima suapan wang tunai tersebut sebagai dorongan untuk menurunkan dan tidak memuat naik mana-mana artikel berkenaan sindiket pekerja asing Pakistan di liputan Malaysiakini.

Perkara tersebut didakwa dilakukan dekat Hotel Concorde, di sini pada pukul 11.45 malam, 28 Februari lalu. Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Alis Izzati Azurin Mohd. Rusdi kemudian memaklumkan kesalahan dilakukan adalah tidak boleh diikat jamin, namun menawarkan jaminan berjumlah RM20,000 sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkannya.

“Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri pada setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi-saksi.

“Jumlah jaminan cukup munasabah untuk mengikat tertuduh supaya hadir setiap tarikh perbicaraan. Selain itu, tertuduh juga dilarang daripada memuat naik sebarang artikel berkaitan perbicaraan yang boleh menjejaskan prosidingnya,” katanya.

Bagaimanapun, Purshotaman meminta mahkamah membenarkan jumlah jaminan sebanyak RM5,000 memandangkan tugasan yang dilakukan oleh bapa kepada dua anak itu sebagai wartawan sehingga menggadai nyawa sendiri untuk membantu kerajaan.

“Anak guam adalah wartawan yang pernah memenangi anugerah. Jaminan ditawarkan mestilah tidak bersifat menghukum kerana berdasarkan prinsip undang-undang dia tidak bersalah sehingga dibuktikan.

“Jumlah jaminan dan syarat tambahan dikenakan adalah terlalu tinggi akan menyebabkan beliau meringkuk dalam penjara. Beliau menghormati proses dan hadir sendiri ke mahkamah. Namun demikian, beliau yakin untuk mendapatkan keadilan di mahkamah untuk membersihkan nama beliau,” balasnya.

Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin memutuskan ikat jamin dibenarkan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu lapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali di pejabat SPRM terdekat dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 April depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya