JOHOR BAHRU: Warga emas yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi atas pertuduhan menampar seorang pemuda bukan Islam, didakwa semula sebentar tadi.
Walau bagaimanapun, Abdul Razak Ismail, 65, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Majistret A. Shaarmini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada seorang pemuda di kedai serbaneka sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru pada pukul 6.15 petang, Ahad lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun serta denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000, namun peguam Mohd. Salleh Togimin memohon jaminan yang rendah.
“Tertuduh merupakan seorang pesara kerajaan dan menyara seorang isteri serta tiga orang anak dengan seorang daripadanya masih menuntut di universiti awam di Sabah.
“Oleh itu, saya mohon jaminan rendah dan tidak membebankan ahli keluarga kerana jaminan RM8,000 adalah suatu jumlah yang melebihi untuk kesalahan seperti ini,” katanya.
Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin warganegara dan menetapkan 29 April ini sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Sebelum ini, tular dua klip video berdurasi 32 saat dan 44 saat berkaitan insiden seorang pemuda bukan Islam ditampar seorang lelaki ketika sedang makan di kedai serbaneka. – UTUSAN