Tahap pertuturan Zayn Rayyan seperti bayi 10 bulan

Tahap pertuturan Zayn Rayyan seperti bayi 10 bulan

ZAYN RAYYAN
ZAYN RAYYAN ABDUL MATIIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang dok­tor pakar memberitahu Mah­kamah Sesyen di sini, semalam bahawa tahap pertuturan ka­nak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin ketika berusia dua tahun adalah teruk.

Menurut Pegawai Perubatan di Jabatan Otorhinolaryngologi (ORL) Hospital Sungai Buloh, Dr. Hanisah Abd. Nasir, ketika Zayn Rayyan menjalani terapi pertuturan pada umur dua tahun, kanak-kanak itu didiagnos sebagai ‘kelewatan bahasa reseptif dan ekspresif’ tahap teruk.

Pihak hospital telah memberikan pelan strategi latihan kepada ibunya, Ismanira Abdul Manaf sebagai bahan terapi di rumah.

“Berdasarkan pemahaman saya, kerana keadaan di waktu terapi menunjukkan jelas perbezaan pesakit hampir dua tahun. Sebagai contoh umum, pesakit berumur dua tahun tetapi tahap bahasa seperti bayi berumur 10 bulan.

“Jadi maksudnya tahap teruk disebabkan perbezaan hampir dua tahun dari keadaan sebenar,” kata saksi itu ketika dirujuk kepada laporan perubatan Zayn Rayyan yang ditulisnya.

Saksi pendakwaan ke-23 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi.

Menurut Dr. Hanisah, Zayn Rayyan juga tidak menunjukkan sebarang minat semasa menjalani ujian pendengaran.

“Untuk pesakit seumur lebih kurang dua tahun, kita akan mulakan dengan percubaan ujian pre-audiometri yang mana pesakit diperlukan untuk mengikut arahan dan secara bermain. Hasil ujian pendengaran akan dapat dilihat berdasarkan respons daripada pesakit.

“Tetapi untuk kes ini, pesakit tidak berminat dengan tidak langsung mengikut arahan. Jadi tarikh temu janji yang baharu diberikan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Dr. Hanisah, laporan perubatan yang ditulis itu hanyalah berdasarkan rekod perubatan sedia ada tanpa mengendalikan kanak-kanak itu secara langsung.

Pada 13 Jun 2024, bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira yang kedua-duanya berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah mengabaikan kanak-kanak itu.

Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023 di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya