SHAH ALAM: Seorang profesor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,071 pada Mei dan Jun dua tahun lalu.
Pengakuan Ahmad Rifqi Md. Zain itu direkodkan mahkamah selepas kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Mohd. Nordin.
Berdasarkan pertuduhan, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berusia 48 tahun itu didakwa menerima wang sebanyak RM2,000 dan RM3,071, masing-masing pada 24 Mei dan 2 Jun 2023 bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja membekal dan menghantar pakaian berkolar, lanyard, mafla dan ziplock.
Pembekalan barangan itu didakwa bagi kegunaan mahasiswa Kolej Burhanuddin Helmi sesi 2023-2024. Justeru, kesalahan tersebut didakwa dilakukan dekat sebuah cawangan bank berhampiran universiti berkenaan, di Bangi.
Oleh demikian, tertuduh yang juga pengetua kolej berkenaan dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Pegawai Pendakwa Raya Mohd. Aliff Shaharuzaman kemudian mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin sekiranya mahkamah membenarkannya.
“Selain itu, tertuduh juga perlu mematuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran, menyerahkan pasport antarabangsa dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai,” katanya.
Peguam Mohd. Faizi Che Abu yang mewakili tertuduh bagaimana pun memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM5,000 kerana tertuduh menanggung enam orang anak yang masih belajar di institusi pendidikan tinggi (IPT), sekolah menengah dan rendah.
“Berhubung simpanan pasport, saya memohon mahkamah tidak mengenakan syarat tersebut kerana anak guam merupakan seorang pengarah di Institut Nanoelektronik di universiti berkenaan dan memerlukan beliau mengadakan kolaborasi dengan universiti di luar negara.
“Pada bulan April dan Jun nanti beliau perlu ke Bandung, Indonesia dan United Kingdom (UK). Itu adalah tugas hakiki beliau,” jelasnya.
Bagaimanapun, hakim memutuskan jumlah ikat jamin sebanyak RM10,000 berserta syarat tambahan yang dikemukakan termasuk menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sebelum menetapkan sebutan semula pada 13 Mei depan. – UTUSAN