KUANTAN: Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di sebuah rumah di Perumahan Bukit Rangin, bulan lalu.
Tertuduh, Nur Nabilah Sekh Ruslan, 32, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ellyna Othman.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa menyebabkan kematian anak asuhannya antara pukul 6 petang hingga 8 malam pada 17 Februari 2025.
Mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dikenakan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Abdul Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan kerana kesalahan tidak boleh dijamin dan menetapkan 15 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Sebelum ini, polis menahan enam individu termasuk pasangan suami isteri susulan kematian kanak-kanak perempuan pada 26 Februari lalu.
Berdasarkan laporan, pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini menerima seorang pesakit kanak-kanak perempuan kerana tidak sedarkan diri kira-kira pukul 10 malam, 19 Februari.
Pemeriksaan fizikal ke atas badan mangsa mendapati, terdapat kesan lebam di kedua-dua belah tangan dan kaki yang ketika itu mangsa ditempatkan di zon merah untuk pemeriksaan susulan. Mangsa meninggal dunia pada keesokan hari. – UTUSAN