GEORGE TOWN: Seorang suri rumah warga Vietnam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua pertuduhan iaitu memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang remaja manakala seorang lagi cedera, pada Februari lalu.
Tertuduh, Nguyen Thi Kim Oanh, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu kereta Honda Jazz di atas jalan raya atas pengaruh minuman memabukkan sehingga menyebabkan tidak terdaya mengawal kenderaan itu, seterusnya menyebabkan kematian Thomas Ch’ng Kai Hen, 18, pada 19 Februari 2025 kira-kira pukul 9.48 malam di Jalan Jelutong, George Town.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun selain denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa telah memandu kereta sama, juga di bawah pengaruh minuman yang memabukkan sehingga menyebabkan kecederaan kepada Ooi Qi Heng, 18, pada tarikh dan waktu sama, seperti pertuduhan pertama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 44 (1A) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara antara tujuh hingga sepuluh tahun, selain dikenakan denda antara RM30,000 hingga RM50,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M. Darrshini manakala tertuduh diwakili peguam K. Mahendran.
Pada masa sama, keluarga mangsa melantik Andy Ooi selaku peguam pemerhati bagi kes berkenaan manakala RSN Rayer bertindak sebagai ‘amicus curiae’ (sahabat mahkamah) bagi kes tersebut.
Ketika prosiding, pendakwaan memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan manakala lesen memandu tertuduh digantung, selain pasport diserah kepada mahkamah.
Mahendran memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan seorang ibu kepada tiga anak berusia 16, 10 dan setahun, tidak bekerja serta hanya bergantung kepada suami yang bekerja sebagai penjaja.
Rayer selaku amicus curiae mencelah dengan memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan kerana kes itu melibatkan kepentingan awam, yang mana seorang mangsa merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dilanggar dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Saya meminta agar jaminan tidak ditawarkan. Tertuduh adalah warga asing dan sekiranya mahkamah tidak bersama-sama saya, saya memohon agar jumlah jaminan ditingkatkan, selain perlu ada dua warga Malaysia sebagai penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis,” katanya.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga Malaysia manakala lesen dan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Tertuduh juga diarah melapor diri di balai polis setiap bulan. – UTUSAN