SHAH ALAM: Mahkamah Majistret melanjutkan lagi hak penjagaan sementara selama dua bulan bermula hari ini sehingga 16 Mei depan terhadap anak bongsu pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, kepada datuk dan nenek saudaranya.
Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas pasangan suami isteri itu dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berunding susulan permohonan mencelah dikemukakan oleh Zaim Ikhwan dan Ismanira selaku pemohon untuk mendapatkan kembali hak penjagaan anak mereka yang berusia enam tahun.
Peguam mewakili mereka, M. Lavanesh Haresh berkata, dalam permohonan tersebut, pemohon turut menamakan kedua ibu bapa Zaim Ikhwan sebagai sebagai alternatif berikutan kanak-kanak lelaki itu menghidapi autistik.
“Kanak-kanak itu hanya boleh dijaga oleh yang dikenalinya (termasuk datuk dan neneknya) ketika dia sedang membesar dan bukannya semudah diserahkan kepada individu profesional,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding tersebut, hari ini.
Bagaimanapun, peguam persekutuan yang mewakili JKM mengesyorkan kanak-kanak tersebut diberikan hak penjagaan sementara di tempat selamat atau tempoh lanjutan diberikan kepada orang yang layak dan sesuai (OYLS) sedia ada dengan penilaian dilakukan oleh jabatan berkenaan.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk melanjutkan lagi tempoh jagaan oleh OYLS sedia ada dengan penilaian terhadap penjagaan dilakukan oleh JKM sebelum mahkamah mengeluarkan perintah lain pada 16 Mei.
“Selain itu, JKM turut mengenakan 20 syarat iaitu tambahan satu syarat berbanding 19 sebelum ini dan mengubah syarat asal seperti menaikkan elaun jagaan daripada RM150 kepada RM300 dan memendekkan tempoh kebenaran lawatan daripada 48 jam kepada 24 jam setiap minggu,” katanya.
Tambahnya, laporan penilaian oleh JKM akan dimaklumkan kepada mahkamah sebelum hak jagaan seterusnya diberikan sama ada kepada ibu bapa Zaim Ikhwan atau dipindahkan ke tempat selamat.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan perintah penjagaan sementara adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin diberikan kepada datuk dan nenek saudaranya sejak 9 Ogos tahun lalu.
Peguam mewakili kanak-kanak itu, Nurul Ikrimah Mohd. Raya berkata, hak penjagaan diberikan secara bersyarat antaranya melaporkan kepada pelindung iaitu JKM setiap aktiviti termasuk lawatan ibu bapa.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi dilaporkan menolak permohonan membatalkan pertuduhan berkaitan pengabaian anak pasangan suami isteri itu selepas mendapati dakwaan kesalahan melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kecederaan fizikal sebagai tidak cacat termasuk intipatinya. – UTUSAN