SHAH ALAM: Tindakan seorang guru besar memberikan kontrak kerja-kerja pembinaan dekat sebuah sekolah kebangsaan kepada syarikat milik adiknya pada dua tahun lalu mengundang padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohd. Zaini Miskon mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham terhadap pertuduhan berserta hukuman yang dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG44 yang berkhidmat di sekolah pendidikan khas itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi adiknya dengan membantu sebuah syarikat mendapatkan kontrak kerja pembinaan.
Kerja-kerja tersebut adalah berkaitan bumbung dewan terbuka, laluan susur gajah dan gazebo yang bernilai RM48,050 bagi sekolah tempatnya berkhidmat.
Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Sabit kesalahan dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, ‘Atirah Mohd. Azuarizanuddin kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin serta syarat-syarat tambahan.
Kemudian, Mohd. Zaini, 56, yang tidak diwakili peguam itu memohon jumlah jaminan minimum iaitu RM5,000 atas pelbagai faktor termasuk pendapatan RM8,000 sebagai guru di samping perlu menanggung kos perubatan isterinya yang baharu disahkan menghidapi barah payudara.
“Saya tiada pendapatan lain selain emolumen tersebut. Isteri baru disahkan sakit barah payudara dan memerlukan rawatan berterusan. Anak masih belajar di kolej. Selain itu saya juga menjaga ibu berusia 80 tahun. Mohon simpati mahkamah dan yang arif,” katanya.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berdekatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Beliau turut mengarahkan tertuduh supaya melantik peguam untuk mewakilinya sebelum tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 21 April depan. – UTUSAN