Empat lelaki edar 28.8 kg dadah berdepan tali gantung

Empat lelaki edar 28.8 kg dadah berdepan tali gantung

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret, Teluk Intan, Perak untuk didakwa atas pertuduhan mengedar dadah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Empat lelaki berdepan tali gantung selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamin seberat 28,850 gram, minggu lalu.

Tertuduh, N. Maghendran, 48; B. Vasanthan, 45; P. Sivaganesh, 43, dan N. Devandaran, 33, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengedar methamphetamin seberat 27,050 gram dan 1,800 gram di sebuah premis di Kampung Baru Sungai Dua, Ulu Bernam antara 12 hingga 16 Mac 2025.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 15 sebatan jika tidak dihukum mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzuddin Fakri Hamdan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 3 Jun ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Sebelum ini, dilaporkan sindiket dadah terbongkar selepas polis menyerbu sebuah rumah daif di kawasan terpencil di Ulu Bernam pada 12 Mac lalu.

Serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pukul 10.20 malam itu membawa kepada penahanan seorang tukang masak dadah berusia 47 tahun.

Penahanan itu membawa kepada tiga lagi tangkapan di Sentul, Kuala Lumpur dan Batu Caves, Selangor serta merampas dadah bernilai RM1.6 juta dan peralatan memproses. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya