Didenda RM25,000 seorang, miliki 16,620 liter diesel

Didenda RM25,000 seorang, miliki 16,620 liter diesel

KEDUA-dua OKS diiringi pegawai KPDN ketika hadir ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka bagi sebutan semula kes memiliki diesel tanpa permit. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua lelaki didenda RM25,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana memiliki 16,620 liter minyak diesel bersubsidi tanpa lesen atau permit sah, dua tahun lalu.

Hakim Haderiah Siri membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan bersalah orang kena saman (OKS), Lim Thin Wah, 44, dan Chew Jia Zheng, 23, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut mengarahkan OKS dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda. Kedua-dua tertuduh membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua OKS dengan niat bersama didapati memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 16,620 liter dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah telah melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan bahan api secara runcit atau borong tanpa lesen.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.15 tengah malam di Lot 13B, Lorong 1, Jalan IKS Paya Rumput dalam daerah Melaka Tengah pada 12 September 2023.

Sabit kesalahan, kedua-dua OKS boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota perisikan siasatan khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menyerbu premis tempat kejadian dan menemui empat lelaki sedang melakukan pemindahan minyak diesel dari dua lori diubah suai dan dipasang tangki tambahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Muhamad Ashraf Nashruddin Ahmad Nazri manakala kedua OKS diwakili peguam Mohd. Faiezad Razali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya