Cubaan ‘pau’ pemilik kopitiam, seorang bapa dipenjara, denda

Cuba ‘pau’ pemilik kopitiam, seorang bapa dipenjara, denda

Suapan
S. Thiagarajan tiba di Mahkamah Sesyen hari ini bagi mendengar pertuduhan meminta suapan, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Cubaan mendapatkan suapan sehingga RM4,000 dengan mendakwa seorang pemilik sebuah kopitiam mengubah suai meter elektriknya memakan diri apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, hari ini.

Tertuduh, S. Thiagarajan, 40, dikenakan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM3,500 oleh mahkamah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima wang tunai sebanyak RM1,720.

Berdasarkan pertuduhan tertuduh secara tidak jujur memperdaya anak kepada pemilik kopitiam itu dengan curangnya mendorong dia menyerahkan wang berjumlah RM780 kepadanya supaya tidak melaporkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkenaan pengubahsuaian meter elektrik yang dilakukan di premis wanita itu.

Mengikut fakta kes, Thiagarajan yang merupakan pemilik sebuah syarikat perkhidmatan elektrikal dan perpaipan hadir bersama seorang rakannya ke kopitiam di Pusat Bandar Puchong, pada 19 Mac lalu bagi membuat pemeriksaan ke atas meter elektrik premis berkenaan.

Ketika pemeriksaan dibuat, tertuduh mendapati kopitiam tersebut melakukan kesalahan, mencuri elektrik dan boleh dikenakan saman berjumlah RM2,500.

Thiagarajan kemudiannya meminta wang suapan berjumlah RM4,000 sebagai balasan untuk tidak membuat laporan kepada TNB dan wanita berkenaan kemudiannya bersetuju selepas dia berbincang dengan ibunya.

Bagaimanapun, dia bersetuju untuk membayar secara berperingkat bermula RM780 dan RM1,720 dahulu.

Namun, wanita itu kemudian membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 11 pagi pada 20 Mac berhubung isu tersebut sebelum sepasukan pegawai SPRM menahan Thiagarajan di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Puchong, pada hari yang sama.

Justeru, tertuduh merupakan bapa kepada empat orang anak itu dituduh di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-dua sekali.

Mitigasi

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Asmaa’ Zamri kemudian memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran kepadanya supaya tidak mengulanginya pada masa akan datang.

Bagaimanapun, Thiagarajan yang tidak diwakili peguam, merayu supaya mahkamah mengenakan hukuman ringan kepadanya memandangkan anaknya berumur empat hingga sembilan tahun yang perlu disaranya.

“Saya merupakan pesakit hernia sejak empat tahun lalu dan masih belum melakukan pembedahan bagi merawat sakit ini. Pendapatan pula semakin berkurang bulan demi bulan, apabila cuma mendapat dua ke tiga kerja membaiki elektrik dan paip seminggu,” rayunya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari berkuatkuasa dari tarikh ditahan pada 20 Mac. Selain itu Thiagarajan turut didenda sebanyak RM3,500 atau enam bulan penjara jika gagal membayarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya