PETALING JAYA: Seorang suri rumah memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, semalam bahawa anaknya pernah mengejar seorang kanak-kanak dipercayai Zayn Rayyan Abdul Matiin pada waktu tengah hari, 5 Disember 2023.
Saksi pendakwaan ke-21, Norzaini Zainol, 39, memaklumkan, dia mengetahui perkara itu selepas diberitahu anaknya semasa dipanggil untuk ke sekolah selepas ketibaan van.
Katanya, setiap tengah hari, anaknya yang juga saksi pendakwaan ke-14 bersama seorang lagi kanak-kanak sebaya (saksi pendakwaan ke-15) akan bermain kejar-kejar sementara menunggu ketibaan van sebelum ke sekolah.
“Saya panggil anak saya kerana van sekolah sudah sampai. Anak saya yang datang dari belakang kemudian tepuk saya kata ‘mama saya kejar budak’.
“Saya ingat dia bermain dengan rakannya. Saya tidak sangka dia kejar Zayn Rayyan. Selepas itu van sekolah sampai dan anak saya terus naik van,” katanya.
Terdahulu, Norzaini juga memberitahu ada melihat Zayn Rayyan bersama ibunya, Ismanira Abdul Manaf menaiki motosikal di kawasan berdekatan selepas pulang dari sekolah pada pukul 12.05 tengah hari.
Kedua beranak itu kemudian berjalan melintasi saksi yang sedang duduk di tangga sebelum pergi ke arah taman yang terletak di hadapan Blok R, Apartment Idaman.
“Lepas parkir motor itu, Zayn Rayyan dan ibunya berjalan melintasi saya untuk terus ke taman di sebelah kanan. Lepas itu saya tidak nampak.
“Zayn Rayyan pakai uniform sekolah, baju kemeja-t putih ada lencana, seluar trek warna gelap dengan kasut hitam. Tapi pakaian ibu Zayn (Ismanira) saya tidak ingat,” katanya.
Norzaini yang tinggal di apartment tersebut sejak 2012 turut memberitahu, dia tidak mengenali Ismanira dan Zayn Rayyan secara rapat, namun sering melihat dua beranak itu beberapa kali dalam seminggu ketika pulang dari sekolah.
Tambahnya, dia hanya mengetahui tentang kehilangan kanak-kanak itu pada 5 Disember selepas dimaklumkan suaminya menerusi aplikasi WhatsApp pada pukul 12.45 tengah hari.
Pada 18 Februari lalu, perbicaraan kes Zayn Rayyan diarahkan untuk dijalankan secara tertutup selepas Hakim Dr. Syahliza Warnoh mengarahkan tiada media dibenarkan membuat liputan, ekoran dua saksi yang akan memberi keterangan ialah dua orang kanak-kanak.
Pada 13 Jun 2024, bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira; kedua-duanya berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah mengabaikan kanak-kanak itu.
Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023 di sekitar Jalan PJU 10/1, Damansara Damai di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN