PETALING JAYA: Dua orang kanak-kanak yang dipanggil memberi keterangan dalam kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matin selesai memberikan keterangan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Prosiding yang berlangsung pada 10 pagi itu diadakan secara tertutup dengan hanya pihak terlibat sahaja dibenarkan berada dalam dewan mahkamah selepas Hakim Dr. Syahliza Warnoh mengarahkan pemberita tidak dibenarkan membuat liputan.
Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian ketika ditemui berkata, kedua-dua kanak-kanak yang dipanggil telah membuat pengesahan kali terakhir mereka melihat Zayn Rayyan adalah pada tengah hari, 5 Disember 2023.
Kedua kanak-kanak itu turut membuat pengecaman dan mengesahkan mereka mengenali ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf.
“Hari ini dua kanak-kanak telah selesai berikan keterangan pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula. Tiada saksi kanak-kanak lain yang akan dipanggil.
“Mereka cam Ismanira. Maknanya mereka biasa tengok Zayn Rayyan dengan ibunya walaupun tidak tahu nama,” kata pendakwa raya itu.
Pada 15 Disember 2024, akhbar melaporkan, seorang kanak-kanak telah diminta oleh polis untuk melakonkan semula aksi sewaktu dia bertemu dengan Zayn Rayyan kira-kira lima jam sebelum kehilangan kanak-kanak malang itu dilaporkan.
Difahamkan, lakonan semula itu dijalankan berdasarkan keterangan dua saksi kanak-kanak yang juga rakan kepada mangsa.
Kelmarin, enam saksi pendakwaan dan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme itu selesai membuat pengecaman lokasi di Apartment Idaman, Damansara Damai.
Enam saksi itu terdiri daripada dua pegawai polis, Asisten Superintenden Nor Zaharuddin Sanip dan Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin; dua orang awam, Siti Natrah Ismail dan Rashidah Rajali serta dua orang kanak-kanak.
Setakat ini, seramai 20 saksi merangkumi orang awam, pegawai perubatan dan pegawai polis telah dipanggil untuk memberikan kenyataan berkaitan kes.
Pendakwaan juga menjangkakan lebih 30 saksi akan dikemukakan kepada mahkamah sepanjang perbicaraan berlangsung. Perbicaraan kes akan bersambung pada 11 Mac ini.
Pada 13 Jun 2024, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira yang kedua-duanya berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah mengabaikan anak sulung mereka.
Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. – UTUSAN