'Zayn, ini salah mommy'

‘Zayn, ini salah mommy’

Bapa kepada Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan hadir di Mahkamah Petaling Jaya semalam, untuk perbicaraan kes pengabaian yang dihadapi ibu bapa kanak-kanak autistik itu. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ‘Zayn, ini salah mommy

Jeritan itu didengari oleh guru kelas pendidikan khas, Zayn Rayyan Abdul Matiin ketika menziarahi ibu dan bapa kanak-kanak austime itu di rumah mereka sehari selepas berita kehilangan anak muridnya tular, dua tahun lalu.

Saksi pendakwaan kesembilan, guru prasekolah pendidikan khas, Siti Aminah Nor Mad Ali, 40, berkata, pada ketika itu, nenek kepada Zayn Rayyan cuba menenangkan ibunya, Ismanira Abdul Manaf yang kelihatan trauma dan enggan makan serta minum ekoran kejadian yang berlaku.

Kata saksi berkenaan, beliau menziarahi keluarga itu bersama guru besar dan dua orang penolong kanan sekolah tersebut.

“Saya terdengar Puan Isma menjerit ‘Zayn, ini salah mommy’. Saya dan guru besar terkejut mendengar perkara itu namun kami menganggap ia berlaku kerana dia terlalu sedih,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz.

Terdahulu, Aminah memberitahu, dia menerima perkhabaran mengenai kehilangan Zayn Rayyan menerusi kiriman WhatsApp sekitar pukul 4 petang, 5 Disember 2023.

Aminah berkata, pada mulanya beliau menyangka perkara itu tidak begitu serius dan beranggapan Zayn akan pulang ke rumah semula sehingga dia dimaklumkan kanak-kanak berkenaan masih belum ditemui pada malam tersebut.

Aqharie Durranie: Boleh ceritakan makluman (yang diterima) tentang Zayn hilang. Ada butiran yang cikgu ingat?
Siti Aminah Nor: Saya ada baca melalui Facebook. Yang saya ingat dinyatakan nama, umur, masalah autisme Zayn dan Zayn adalah non verbal. Kemudian dinyatakan juga Zayn hilang dalam (memakai) pakaian sekolah sewaktu pulang dari sekolah. Itulah antara butiran yang saya ingat.

Aqharie Durranie: Ada dimaklumkan hilang di mana?
Siti Aminah Nor: Saya cuma ingat dia hilang selepas pulang daripada sekolah. Itu sahaja.

Aqharie Durranie: Makluman itu menyatakan Zayn hilang dalam pakaian sekolah. Boleh terangkan pakaian sekolah yang dipakai Zayn pada 5 Disember 2023?
Siti Aminah Nor: Dia memakai tshirt putih berkolar, ada lencana yang dijahit di bahagian kiri dada. Kemudian, dia juga memakai seluar berwarna hitam, kasut berserta stoking.

Aqharie Durranie: Kasut warna apa?
Siti Aminah Nor: Kasut hitam dan stoking juga berwarna hitam.

Bagi prosiding semalam di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh, kedua-dua tertuduh, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira diwakili peguam bela, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh Haresh, saksi berkenaan menyatakan Zayn Rayyan sentiasa kelihatan terurus dan gembira ketika ke sekolah.

Ujar guru sekolah itu, sepanjang kanak-kanak itu bersekolah dari Mac hingga 5 Disember 2023, dia juga sentiasa membawa bekal makanan.

Haresh: Cikgu setuju kalau saya cadangkan ibu Zayn tanpa gagal sediakan makanan untuknya pada setiap hari?
Siti Aminah Nor: Ya.

Haresh: Pernah juga terdapat hari di mana Zayn tidak ingin ayam goreng (contoh). Sekolah akan panggil ibu Zayn dan ibunya akan sediakan bekal lain untuk Zayn makan?
Siti Aminah Nor: Betul, ada.

Haresh: Setuju kalau saya cadangkan setiap kali dia hadir ke sekolah, dia lengkap dengan pakaian, beg, bekal (makanan) dia dan dia juga seronok ke sekolah?
Siti Aminah Nor: Betul, setuju.

Haresh: Dan tidak pernah sekali pun seolah diabaikan oleh keluarga?
Siti Aminah Nor: Betul.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa dan mengaku tidak bersalah mengabaikan Zayn Rayyan.

Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023 di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya