Zalzul Kamar dituduh bunuh Norshamira

Zalzul Kamar dituduh bunuh Norshamira

ZALZUL Kamar Abdul Ghani dibawa ke Mahkamah Majistret, Kuantan, Pahang atas pertuduhan membunuh Norshamira Zainal. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan membunuh pe­niaga makanan wanita yang mayatnya ditemukan di tepi Sungai Kuantan berhampiran jambatan Tanjung Lumpur, pertengahan bulan ini.

Bagaimanapun, tiada pe­nga­kuan direkodkan daripada tertuduh, Zalzul Kamar Abdul Ghani, 53, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Norshamira Zainal, 37, di kawasan jeti Sungai Kuantan di belakang Restoran Golden Empire Palace, Jalan Padang Lalang antara pukul 7.30 malam sehingga pukul 8.30 malam pada 12 Februari 2025.

Mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh ber­depan hukuman gantung sam­pai mati atau penjara maksi­mum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang, Tuan Shahrizat Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya Deevagaran Nandu Baskaran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 10 April ini bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, seorang wanita ditemukan mati dalam keadaan menyayat hati apabila menjadi mangsa pembunuhan kejam ke­tika melakukan penghantaran barang (COD) di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur.

Mayat Norshamira dijumpai pada pukul 12.45 tengah hari selepas 17 jam dilaporkan hilang ketika keluar rumah untuk menghantar sambal ikan bilis garing kepada pelanggan yang menjadi suspek kes tersebut.

Susulan itu, polis menahan suspek yang lari dan bersembunyi di rumah anak saudaranya di sebuah perumahan di Wakaf Tembusu, Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, motif pembunuhan adalah samun dan suspek lelaki itu turut menggadaikan barang kemas mangsa yang bernilai RM30,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya