KUALA SELANGOR: “Saya merayu (wang jaminan) dikurangkan kerana cuma ada RM1,000 sahaja dalam simpanan.”
Demikian rayuan dikemukakan tertuduh Muhammad Radzi Azman yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini ketika berdepan pertuduhan menipu seorang lelaki berhubung penjualan kenderaan lelong antara September hingga Oktober tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh berusia 32 tahun itu didakwa menipu seorang lelaki 10 tahun lebih tua darinya untuk mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM8,050 ke dalam akaunnya bagi urusan pembelian kenderaan lelong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan dekat Kampung Sungai Serdang, Kapar antara 11 September hingga 3 Oktober. Justeru, Muhammad Radzi dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun, sebat serta boleh dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin kemudian menawarkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh, M. Mariappan memohon jaminan dikurangkan berikutan tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak serta bekerja sebagai penghantar barang dengan pendapatan sebanyak RM900 sebulan.
Namun, Muhammad Radzi ketika mencelah pada prosiding tersebut memaklumkan jumlah yang dinyatakan dalam pertuduhan tidak benar dan mendakwa sudah pun memulangkan sebahagian wang yang diberikan, sebanyak RM7,800.
“Puan, tidak benar jumlah wang dalam pertuduhan, saya sudah pun berbincang dengan mangsa dan secara sukarela memulangkan RM7,800 kepadanya.
“Saya juga merayu (kurangkan jaminan) kerana hanya ada RM1,000 dalam simpanan. Kemudian puasa dan hari raya semakin dekat,” katanya.
Majistret Siti Hajar Ali kemudian menjelaskan, tertuduh tidak perlu bimbang dengan maklumat dalam kertas pertuduhan apabila sudah pun membuat pengakuan tidak bersalah selepas ia dibacakan di awal prosiding.
“Tidak mengapa, dalam kes itu awak tidak mengaku salah, kita beri ruang awak lantik peguam untuk pergi perbicaraan,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama memutuskan jumlah jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mac untuk tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu Muhammad Radzi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Klang dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,500 atas kesalahan di bawah kanun sama membabitkan wang tunai sebanyak RM36,050 pada 24 Januari lalu.
Mengikut rekod, ini merupakan kali keempat dia dihadapkan ke mahkamah sejak 16 Januari di Mahkamah Klang dan Gombak selepas mengaku salah atas pertuduhan di bawah Seksyen 417 kanun sama dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1995. – UTUSAN