Syarikat pelancongan keluar tiga cek atas nama Azlan Man - Utusan Malaysia

Syarikat pelancongan keluar tiga cek atas nama Azlan Man

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas peng­arah urusan sebuah syarikat pelancongan mengesahkan pihaknya telah mengeluarkan tiga keping cek berjumlah RM629,395.30 atas nama bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man di antara 2014 hingga 2016.

Menurut Shafie Ismail, 64, cek-cek tersebut dikeluarkan selepas Azlan membatalkan percutian beliau bersama keluarga ke London bagi tempoh sama. Pakej percutian tersebut diuruskan oleh Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn. Bhd. (SKTT).

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat berhubung tindakan meletakkan nama Azlan pada cek-cek tersebut, saksi pendakwaan ke-10 itu memberitahu, ia adalah arahan daripada Setiausaha Sulit Kanan (SUSK), Menteri Besar Perlis, Herwadey Hashim (ketika itu).

Noralis: Rujuk penyataan saksi, perenggan 12. Dinyatakan terdapat tiga kali transaksi pemulangan semula kepada tertuduh. Boleh jelaskan bayaran balik untuk apa dan mengapa.

Shafie: Saya tidak pasti alasan kenapa perjalanan tersebut dibatalkan. Dia (Azlan) buat tempahan tetapi tak travel (buat perjalanan) jadi kena pulangkan balik duit. SUSK (Setiausaha Sulit Kanan) minta bayaran balik dibuat kepada akaun penumpang iaitu Datuk Seri Azlan.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela, Ramli Shariff yang mewakili bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong itu, saksi berkenaan mengesahkan tiada sebarang syarat atau terma diberikan oleh kerajaan negeri ketika menyediakan sebut harga atau sebelum pembayaran balik dibuat.

Pada prosiding sebelum ini, Pengarah Syarikat SKTT, Alimah Omar, dalam keterangannya memberitahu mahkamah bahawa bayaran balik bagi pembatalan percutian Azlan berjumlah RM629,395.30 sepatutnya dibuat kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perlis.

Bagaimanapun, ujar saksi itu, beliau telah dimaklumkan disebabkan tuntutan bayaran balik itu dibuat oleh Azlan, maka cek dikeluarkan atas nama bekas menteri besar itu.

Pada 10 April 2024, Azlan didakwa atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, Kangar antara Disember 2013 dan Disember 2017.

Hal itu membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom serta invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd.

Pada 12 April 2024, Azlan didakwa atas lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM1.06 juta. Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 21 April ini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya