KUALA SELANGOR: Perbuatan seorang penganggur menceroboh rumah dan menumbuk wanita warga emas, minggu lalu menerima padah apabila dipenjara sebulan dan denda RM3,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Siti Hajar Ali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Shamsul Atin, 34, mengaku bersalah atas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, Shamsul didakwa dengan sengaja melakukan pencerobohan jenayah ke atas rumah Kamsiah Sharif, 73, selain menyebabkan kecederaan terhadap wanita itu dengan menumbuk mata kiri dan mulut kiri mangsa menggunakan tangan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Pasir Tuntong. Bukit Rotan di sini, kira-kira pukul 3 petang, 28 Januari lalu.
Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 448 dan 323 Kanun Keseksaan
yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Siti Hajar dalam penghakimannya berkata, kes itu melibatkan dua pertuduhan berasingan dan tertuduh didapati bersalah.
“Bagi hukuman pertama (ceroboh), tertuduh didenda RM2,800 atau penjara tiga bulan jika gagal membayarnya. Manakala, tertuduh dihukum penjara sebulan dan denda RM1,000 bagi pertuduhan kedua. Jika gagal bayar, tambahan sebulan penjara akan turut dikenakan,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kecederaan dan kesan trauma dialami mangsa.
Peguam Khairul Hazwan Rashid Mohd. Redduan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBG) merayu hukuman diringankan kerana Shamsul mempunyai tanggungan ibunya yang uzur dan menyesali perbuatannya itu.
Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh turut dijatuhi hukuman denda RM2,300 selepas mengaku bersalah memasukkan dadah ke dalam badannya, 4 September tahun lalu.
Kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu dilakukan di pejabat Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Selangor, kira-kira pukul 12.10 tengah hari.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan siasatan polis mendapati wanita itu didatangi suspek yang masuk melalui pintu rumah yang terbuka lalu menerkam dan menumbuknya.
Sewaktu pergelutan, mangsa menjerit meminta pertolongan dan suspek segera keluar melarikan diri. Wanita itu yang dibawa ke Hospital Tanjong Karang mengalami kecederaan lebam mata kiri dan luka di bibir. – UTUSAN