KLANG: Seorang pelayan restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak saudara perempuannya, tiga tahun lalu.
Tertuduh lelaki berusia 22 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Noridah Adam.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun (ketika kejadian) dengan cara membuat mangsa menghisap kemaluan bagi tujuan seksual.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di sekitar Kuala Selangor, kira-kira pukul 10 malam, 2 Mei 2022. Justeru, dia dituduh mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Ayuni Jamri kemudian tidak menawarkan jaminan kerana mengambil kira faktor mangsa tinggal bersama tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan kerana mempunyai tanggungan ibu dan dua adiknya.
Noridah kemudian tidak membenarkan jaminan dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 April depan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan datuk angkat kepada mangsa dipenjara selama enam tahun dan satu sebatan oleh mahkamah sama, Jumaat lalu.
Hukuman itu diputuskan selepas tertuduh berusia 67 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan amang seksual dibacakan jurubahasa mahkamah.
Laporan kejadian itu dibuat datuk saudara mangsa pukul 7.38 malam, 1 Februari lalu selepas remaja perempuan berkenaan mengadu kepadanya dan kedua-dua suspek kemudian ditahan pada hari sama. – UTUSAN