Pegawai jabatan akauntan terima rasuah berpuluh-puluh ribu ringgit

Pegawai jabatan akauntan dituduh terima rasuah berpuluh-puluh ribu ringgit

Rasuah pegawai
ABANG Ismail Abang Puteh meninggalkan kaunter bayaran jaminan selepas menghadapi pertuduhan menerima suapan di Mahkamah Sesyen, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berpuluh-puluh ribu ringgit sebanyak 12 kali antara 2021 hingga Mei tahun lalu.

Tertuduh, Abang Ismail Abang Puteh membuat pengakuan demikian selepas sebanyak 12 pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh berusia 48 tahun itu didakwa menerima suapan keseluruhan berjumlah RM238,000 sebanyak 12 kali tanpa balasan daripada seorang pengarah sebuah syarikat perkhidmatan teknologi kerana memberi maklumat tender Perkhidmatan Penyelenggaran Fasiliti Pusat Data JANM dan membuat pengesahan kerja pada Borang Penyelesaian Kerja (Job Completion Form) bagi perkhidmatan sama.

Ketika menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah Kanan, Abang Ismail didakwa menerima suapan sebanyak RM12,400, RM12,950, RM44,268 dan RM27,000 antara 11 Januari 2021 hingga 15 Disember 2021.

Kemudian, bapa kepada tiga orang anak itu didakwa menerima suapan RM35,000, RM11,650, RM12,250, RM24,400, RM21,600, RM11,905, RM12,000 dan RM12,600 ketika berkhidmat sebagai Pegawai Teknologi Maklumat Gred F44 antara 2 Mac 2022 hingga 15 Mei 2024.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan dekat tiga buah restoran berbeza sekitar Bandar Puteri, Puchong antara pukul 5.30 petang hingga 9.15 malam .

Justeru dia berdepan empat pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lapan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi serta penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin warganegara dan syarat tambahan iaitu serahan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM berdekatan pada setiap bulan.

Peguam, Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zahida Khan kemudian memohon tawaran jaminan serendah RM12,000 kerana akaun anak guamnya itu dibeku selain harta-harta lain miliknya turut disita SPRM.

“Anak guam masih bekerja di jabatan berkenaan dan memberi kerjasama penuh termasuk hadir ke Pejabat SPRM untuk membantu siasatan. Isteri pula bekerja sebagai kakitangan pentadbiran di sebuah universiti swasta.

“Sehingga hari ini, penjamin iaitu isteri hanya mampu mengumpulkan wang jaminan sebanyak RM12,000, jika tidak dapat menjamin suaminya dibimbangi akan mendatangkan kemudaratan kepada keluarga kerana tertuduh mempunyai anak berusia enam, lapan dan 19 tahun yang masih belajar,” katanya.

Hakim kemudian memutuskan wang jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin warganegara dan mengenakan syarat tambahan ditawarkan oleh pendakwa raya.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 April bagi penyerahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya