PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memberitahu, pihaknya akan berbuat demikian selewat-lewatnya Jumaat ini atas alasan, Ahmad Terrirudin telah menyorokkan titah berkenaan.
Titah Adendum itu dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Selain itu, Muhammad Shafee menyatakan, permohonan tersebut difailkan rentetan daripada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengesahkan bahawa Ahmad Terrirudin yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan telah menerima titah tersebut.
“Berdasarkan kenyataan Perdana Menteri, kita kini tahu bahawa Titah Adendum tersebut telah diterima oleh bekas Peguam Negara dan beliau telah menyerahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong sekarang (Sultan Ibrahim).
“Bekas Peguam Negara tidak bertindak jujur dengan mendiamkan diri sewaktu kes (Titah Adendum) kami disebut di Mahkamah Tinggi, malah mereka mencabar kami untuk membuktikan kewujudan titah tersebut.
“Mereka tidak boleh main sorok-sorok (hide and seek). Mereka tidak boleh kata, awak buktikan, kalau awak tidak buktikan, saya tidak akan buktikan. Mereka (bekas Peguam Negara) bukannya seorang peguam biasa, awak mewakili kerajaan dan sebab itu kami katakan ia adalah hina mahkamah,” kata Muhammad Shafee dalam sidang akhbar, semalam.
Pada 11 Januari lalu, Anwar mengesahkan bahawa Peguam Negara telah menerima Titah Adendum yang menitahkan agar Najib menjalani baki hukuman penjaranya di kediamannya.
Namun, sehari selepas menerima titah tersebut, berlaku pertukaran Yang di-Pertuan Agong daripada Al-Sultan Abdullah kepada Sultan Ibrahim.
Anwar menyatakan perkara itu pada Program Muhibbah Madani anjuran Yayasan Muhibbah Malaysia di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Pulau Pinang.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 memberi kebenaran kepada Najib untuk mencabar perintah penahanan di rumah bagi baki hukuman penjara yang dihadapinya selepas membenarkan rayuannya. – UTUSAN