KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan permohonan Toh Puan Na’imah Khalid iaitu isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin untuk mewakili suaminya dalam permohonan semakan kehakiman membabitkan pembekuan akaun peribadi keluarga dan 18 syarikat milik mereka.
Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan permohonan tersebut selepas Jabatan Peguam Negara tidak mengemukakan sebarang bantahan mengenainya.
Permohonan tersebut difailkan Na’imah pada 6 Disember lalu selepas kematian Daim pada 13 November 2024.
Daim menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Assunta, Petaling Jaya dekat sini.
Berdasarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 6 Jun 2024, Daim dan keluarganya memohon perintah bagi membatalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita harta alih yang dilakukan mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Selain Daim dan Na’imah, turut dinamakan sebagai pemohon ialah empat anak mereka iaitu Asnida, Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.
Sebanyak 18 syarikat juga dinamakan sebagai pemohon iaitu Aad Equity Sdn. Bhd., Yayasan Haji Zainuddin, Ilham Baru Sdn. Bhd., Anchor Point Sdn. Bhd., Kangkung Catering Sdn. Bhd., Adrihaniz Sdn. Bhd., Syarikat Maluri Sdn. Bhd., Amiraz Sdn. Bhd., Ridana Sdn. Bhd., Daan Sdn. Bhd., Maya Seni Holdings Sdn. Bhd., Magical Zone Sdn. Bhd., Permatang Maju (M) Sdn. Bhd., Brainstorms Sdn. Bhd., Arida Farms Sdn. Bhd., Gajah3 Resource Centre Sdn. Bhd., Ilham Tower Sdn. Bhd. dan Selidik Jaya Sdn. Bhd.
Mereka menamakan Penolong Penguasa Sektor Sasaran Operasi Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta SPRM, Haris Fadhila Sukaime; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; SPRM; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Mereka juga memohon deklarasi bahawa tindakan penyitaan harta alih oleh SPRM dan semua tindakan serta keputusan yang diambil oleh responden pertama hingga keempat adalah tidak sah serta terbatal.
Na’imah dalam afidavit sokongan yang diikrarkannya menyatakan, mereka sekeluarga terjejas secara negatif dalam skala kecil dan besar ekoran keputusan dan tindakan responden menyita dan membekukan akaun mereka.
Kebenaran bagi permohonan semakan kehakiman itu masih belum didengar. – UTUSAN