BUTTERWORTH: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Ihsan Mohd. Kamarun Zaman, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyamar sebagai penjawat awam iaitu anggota polis di tepi jalan susur keluar Sungai Dua dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU) kira-kira pukul 8 malam pada 29 Januari 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes bagi menunggu serahan dokumen serta lantikan peguam.
Sebelum ini, seorang lelaki yang mempunyai 14 rekod lampau dilaporkan direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes samun dan menyamar polis dalam kejadian di susur keluar Sungai Dua. – UTUSAN