SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi mengarahkan Kerajaan Malaysia dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda membayar sejumlah RM9 juta kepada keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu, di sini, hari ini.
Perintah tersebut dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, M. Sumathi yang mengarahkan kedua-dua pihak berkenaan melunaskan bayaran tersebut dalam tempoh 30 hari melalui akaun firma guaman Karpal Singh & Co sehingga rayuan dilupuskan.
Altantuya sebelum ini dilaporkan menjadi penterjemah dalam proses rundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, DNS, kepada Kerajaan Malaysia, dibunuh oleh dua pengawal peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, pada 18 Oktober 2006.
Susulan itu, dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), iaitu Koperal Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah ditangkap sebelum didakwa di Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana membunuh model itu pada November 2006. – UTUSAN