Keputusan rayuan Peter Anthony tangguh kali ketiga

Keputusan rayuan Peter Anthony tangguh kali ketiga

PETER ANTHONY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan rayuan akhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony yang dijadualkan esok ditangguhkan buat kali ketiga.

Penangguhan itu disahkan oleh Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pemberitahuan berhubung penangguhan tersebut hanya diketahui selepas semakan dengan Mahkamah Rayuan dibuat oleh pemberita.

Seperti sebelum ini, tiada sebarang alasan dikemukakan di sebalik penangguhan tersebut.

Keputusan kes itu sepatutnya telah disampaikan pada 27 November 2024 selepas pihak-pihak terlibat selesai berhujah di Mahkamah Rayuan pada 1 Ogos 2024.

Bagaimanapun, tarikh tersebut telah ditangguhkan kepada 9 Januari lalu sebelum ditangguhkan pula ke 7 Februari ini.

Sekiranya keputusan rayuan akhir itu tidak berpihak kepada Peter, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu bakal kehilangan peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung sebelum Oktober ini.

Pada 26 Mei 2022, Peter didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hampir 11 tahun lalu.

Mahkamah Sesyen kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000.

Pada 18 April 2023, Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan sabitan salah tersebut dan hukuman yang dikenakan terhadapnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn. Bhd. didakwa memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya