SHAH ALAM: Status permohonan untuk membatalkan pertuduhan pengabaian kanak-kanak Zayn Rayyan Abdul Matin, sehingga menyebabkan kecederaan oleh pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf di Mahkamah Tinggi, di sini diketahui pada 4 Mac ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Roszianayati Ahmad menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam dan Timbalan Pendakwa Raya yang terlibat dalam prosiding kes berkenaan.
Terdahulu dalam prosiding hari ini, peguam Marcus Lee yang mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira selaku pemohon mendakwa pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka tidak menyatakan secara spesifik kesalahan dilakukan.
“Dalam pertuduhan itu, sama ada pengabaian itu dilakukan dan berkemungkinan atau tidak menyebabkan kecederaan fizikal. Selain itu, cara jenayah itu dilakukan mesti dinyatakan dalam pertuduhan,” katanya, hari ini.
Sementara Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin selaku responden menjelaskan pertuduhan yang didakwa ke atas kedua-dua pemohon adalah jelas, tidak kabur dan tidak defektif.
“Tidak ada keperluan bagi pihak pendakwaan memberi butiran bagaimana kesalahan itu dilakukan kerana itu melibatkan keterangan-keterangan saksi,” balasnya.
Zaim Ikhwan dan Ismanira sebelum ini memfailkan notis usul bagi membatalkan pertuduhan yang itu pada 21 Januari lalu sekali gus memohon dilepas dan dibebaskan.
Berdasarkan dokumen notis usul dan afidavit sokongan, Zaim Ikhwan dan Ismanira mendakwa pertuduhan yang dikenakan tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Dokumen itu turut menyatakan kedua-dua pemohon percaya pertuduhan dihadapi tidak mematuhi Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah.
Minggu lalu, dua saksi kanak-kanak dalam kes perbicaraan itu telah selesai memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya termasuk hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan juga melawat kawasan Blok R di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini.
Selain pihak mahkamah, turut hadir di lokasi kejadian ialah dua tertuduh iaitu Zaim Ikhwan dan Ismanira serta enam saksi pendakwaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi 11 Mac ini.
Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka
Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN