SHAH ALAM: “Junjung kasih baginda Sultan Pahang (Al Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al Mustafa Billah Shah).”
Demikian reaksi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan menghasut berkaitan Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu, dua tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata, beliau menjunjung kasih kepada Al Sultan Abdullah yang berkenan memberi warkah pengampunan.
“Saya juga tahu rakyat Malaysia turut mendoakan diri saya sepanjang kes ini. Terima kasih juga kepada mahkamah atas keputusan ini selain pimpinan (parti) dan barisan peguam saya,” katanya.
Tambah Muhammad Sanusi, beliau berpegang kepada prinsip bahawa semua perkara berlaku atas izin Allah.
“Sekiranya semua makhluk atas dunia mahu kenakan seseorang tetapi Allah tidak izin, maka ia tidak akan terjadi. Jika berhimpun satu dunia untuk menyelamatkan satu orang, tapi Allah tidak izin, dia juga tidak boleh selamat,” ujarnya.
Sementara itu, peguamnya, Awang Armadajaya Awang Mahmud berkata, pihaknya menerima warkah pengampunan berkenaan pada 14 Februari lalu.
“Kami kemudian mengemukakan representasi kepada Pejabat Peguam Negara bagi menggugurkan pertuduhan itu pada Isnin minggu lalu (17 Februari). Alhamdulilah hakim setuju untuk lepas dan bebas. Kini, Datuk Seri (Sanusi) tidak terikat kepada sebarang perintah mahkamah bagi kes itu,” katanya.
Terdahulu, Hakim Datuk Aslam Zainudin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud memberitahu mahkamah bahawa pihaknya ada menerima representasi oleh pihak pembelaan.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Sanusi, 51, didakwa menyebut perkataan menghasut yang dikaitkan dengan Al Sultan Abdullah dalam ceramahnya di Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, pukul 11 malam, 11 Julai 2023.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 10 Disember tahun lalu, Sanusi turut dibebas dan dilepaskan oleh mahkamah sama atas pertuduhan menghasut berkaitan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ia berikutan pihak pendakwaan memutuskan untuk menarik balik dan tidak bercadang meneruskan pertuduhan tersebut.
Pada Julai tahun lalu, Muhammad Sanusi menerusi peguamnya mengemukakan representasi kali kedua selepas Mahkamah Tinggi dimaklumkan mengenai penolakan representasi pertama oleh Jabatan Peguam Negara bagi menggugurkan dua pertuduhan tersebut.
Sultan Sharafuddin sebelum ini berkenan menerima permohonan maaf Muhammad Sanusi atas nama ukhwah sesama Islam dan bangsa Melayu selain menasihatkan supaya sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila. – UTUSAN